Kemasukan Renminbi dalam SDR akan tingkat peranan China

APTN
Disember 2, 2015 18:21 MYT
Menurut Mark Boleat, ini kerana kemasukan ini dianggap sebagai pengiktirafan komuniti ekonomi dunia terhadap matawang negara itu-Foto EPA
China akan memainkan peranan lebih signifikan dalam persekitaran ekonomi dunia susulan kemasukan matawangnya ke dalam Hak Pengeluaran Khas (SDR) Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Polisi dan Sumber Bandar London Mark Boleat, ini kerana kemasukan ini dianggap sebagai pengiktirafan komuniti ekonomi dunia terhadap matawang negara itu.
Menurutnya setakat ini, China masih belum memainkan peranan yang cukup besar jika dibandingkan dengan saiz dan kepentingan ekonominya dalam persekitaran ekonomi global.
“Kini dengan pengiktirafan kemasukan Yuan ke dalam bakul SDR, kami harap China akan memainkan peranan penuh dalam semua perbincangan dan forum antarabangsa di peringkat global,” kata Boleat.
Tambah beliau China adalah sebuah ekonomi utama sementara Renminbi juga merupakan matawang yang signifikan.
Boleat menambah susulan perkembangan ini, beliau menjangka proses reformasi ekonomi China untuk membuka ekonominya juga akan berdepan cabaran.
”China mahu meliberalisasikan pasaran kewangannya dan ekonominya, ia bukan satu tugas yang mudah mengambil kira titik permulaan bagi China.
"Oleh itu ia bukan hanya mengenai matawang, terdapat beberapa pembaharuan ekonomi yang kini sedang berlaku di China dan semua berkait rapat dengan pembangunan dalam sistem kewangan,” katanya.
Isnin lalu IMF mengumumkan keputusannya untuk menerima matawang Yuan atau Renminbi sebagai salah satu matawang rizabnya menyertai dolar Amerika, Pound Sterling, Yen dan Euro.
#China #Dana Kewangan Antarabangsa #ekonomi #hak pengeluaran khas #IMF #Renminbi #SDR #yuan
;