'Kemanisan Memberi', kempen eksperimen media sosial SME Bank sempena Ramadan

Ehsan A Marisah
Mei 11, 2021 16:01 MYT
Ana Suriaty Abu Bakar (tengah), antara usahawan yang menyampaikan sumbangan kepada Penyelia Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad (kanan) yang disaksikan Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail. - Foto SME Bank
KUALA LUMPUR: Sempena Ramadan tahun ini, SME Bank mengambil inisiatif menerbitkan sebuah kempen eksperimen di media sosialyang bertemakan ‘Kemanisan Memberi’.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif bank itu, Aria Putera Ismail berkata kempen itu bertujuan untuk melihat sama ada masyarakat yang dihimpit pelbagai cabaran juga sanggup menghulurkan bantuan sejajar dengan nilai murni rakyat Malaysia.
“Sebanyak 10 episod telah diterbitkan melibatkan lapan usahawan asnaf dengan bimbingan SME Bank melalui program ISHRAF yang dijalankan pada Ogos tahun lalu.
“Setiap episod juga memaparkan jalan cerita berbeza termasuk memperlihatkan usahawan-usahawan ini membantu anak-anak yatim, graduan dan sekiranya mereka sudi membantu, wang tunai antara RM1,000 hingga RM3,000 diberikan sebagai ganjaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya lagi, episod pertama telah ditayangkan pada 16 April 2021 di platform media sosial SME Bank dan episod akhir dijangka ditayangkan pada 25 Mei 2021.
Setakat April 2021, video yang telah ditayangkan itu mendapat jumlah tontonan melebihi 100,000 tontonan menerusi platform media sosial SME Bank dan dalam kalangan 'ínfluencer'.
Pada masa sama, Aria turut hadir pada rakaman episod 10 melibatkan para usahawan yang bersetuju memberikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad di Kota Damansara, Petaling Jaya, 26 April lalu.
SME Bank turut memberikan duit raya kepada 30 orang kanak-kanak di pusat itu berserta sumbangan berjumah RM5,000.
Sebelum ini, sumbangan ‘Kotak Rezeki’SME Bank telah diberikan kepada Pusat Jagaan Orang Tua Sri Mesra di Ampang serta serahan pek makanan berbuka puasa kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan di bawah kelolaan Yayasan Kebajikan Negara.
#SME Bank #Ramadan #video #media sosial #usahawan #asnaf #program ISHRAF #Aria Putera Ismail #kempen eksperimen media sosial #rakyat Malaysia
;