Keluarga Teh Hong Piow kurangkan pegangan dalam Public Bank kepada 10 peratus

Bernama
Oktober 10, 2024 05:50 MYT
Tay Ah Lek dan Teh Li Shian Diona, anak perempuan bongsu mendiang Teh Hong Piow ketika majlis menandatangani MoU dengan LPI Capital bagi pengambilalihan pegangan dalam Public Bank, di Menara Public Bank, Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Keluarga mendiang Tan Sri Teh Hong Piow dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd akan mengurangkan pegangan mereka dalam Public Bank Bhd kepada 10 peratus dalam tempoh lima tahun daripada 23.4 peratus ketika ini.
Pengurangan ini akan dilaksanakan melalui tawaran terhad bagi jualan (ROFS) saham Public Bank yang dipegang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan telah meluluskan ROFS itu.
"Pada penghujung tempoh lima tahun itu, peratusan pegangan akan berada pada 10 peratus. Bagaimanapun, (keluarga kami akan) kekal sebagai pemegang saham utama Public Bank," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semalam ini selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan LPI Capital Sdn Bhd bagi pengambilalihan 44.15 peratus pegangan dalam Public Bank bernilai RM1.72 bilion.
Terdahulu, anak perempuan bongsu mendiang Teh, Diona Teh Li Shian, yang mewakili keluarga itu menjelaskan bahawa keputusan mengurangkan kawalan dan pegangan keluarga itu dalam Public Bank mematuhi Akta Perkhidmatan Kewangan.
"Sebagai menghormati legasi beliau dan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami, kami akan melaksanakan eksesais untuk mengagihkan sebahagian daripada saham Public Bank, pada harga diskaun, kepada semua kakitangan, pengarah dan pemegang saham Kumpulan Public Bank yang layak.
"Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Public Bank kekal diuruskan oleh mereka yang sentiasa memastikan pertumbuhan dan kejayaannya, sejak dahulu lagi, sehingga membolehkan kami terus membina legasi bersama," katanya.
Diona berkata bapanya sering memberitahu bahawa kejayaan Public Bank bukanlah kejayaan beliau secara individu namun dibina atas kepercayaan dan kesetiaan pemegang saham serta komitmen berterusan kakitangannya, atau apa yang beliau panggil sebagai "keluarga korporat" beliau.
Menurutnya, dana yang dijana daripada penjualan kepentingan itu akan kekal di Malaysia dan tidak akan dihantar pulang ke luar negara.
-- BERNAMA
#Public Bank #Teh Hong Piow #LPI Capital #Tay Ah Lek
;