Kelembapan pasaran sebab utama jumlah pengagihan ASB 5.50 sen seunit

Ibrahim Sani
Disember 18, 2019 14:42 MYT
Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengumumkan jumlah pengagihan ASB dalam satu sidang media pada petang Rabu. - Foto Noor Fahmey Azhar
Kelembapan pasaran dunia adalah antara sebab utama mengapa jumlah pengagihan Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah rendah untuk tahun 2019.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dalam satu sidang media khas petang Rabu.
Jumlah keseluruhan pembayaran pengagihan bernilai RM9.0 bilion ini akan memanfaatkan 10 juta pemegang unit yang memiliki 167.2 bilion unit saham.
Ini menjadikan jumlah pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana sebanyak RM152.0 bilion telah dibayar oleh PNB kepada pemegang unit setakat ini sejak mula diperkenalkan pada 1990.
Bagi tahun 2019, jumlah pengagihan ASB adalah 5.50 sen seunit.
Ini terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember tahun ini.
Sebagai perbandingan, jumlah pengagihan ASB bagi tahun 2018 adalah 7.00 sen seunit, manakala 2017 adalah 8.25 sen seunit.
BACA: Dividen dan bonus ASB dari tahun 1990 hingga 2019
Jumlah aset dalam pengurusan PNB adalah sekitar RM311 bilion. Sebanyak 65 peratus dilabur dalam pasaran ekuiti dan selebihnya dalam kelas aset lain seperti hartanah dan strategik.
Dalam keadaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang mencabar, PNB mengatakan bahawa mereka mencatatkan prestasi berpatutan pada 2019.
Bagi 11 bulan pertama tahun kewangan, Aset di Bawah Pengurusan (AUM) meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM311.9 bilion pada TK2019, manakala Pendapatan Bersih Proforma PNB serta unit amanahnya kekal stabil pada RM10.7 bilion.
“Akibat daripada ketidaktentuan pasaran kewangan dan perang dagang AS-China yang berterusan, dengan perdagangan global yang perlahan yang menjejaskan permintaan luar dan prestasi eksport bagi pasaran serantau, persekitaran pasaran telah menjadi lebih mencabar pada 2019," kata Tan Sri Zeti.
"Di sebalik keadaan mencabar ini, ASB berjaya memberikan jumlah agihan pendapatan sebanyak RM9.0 bilion bagi TK2019, hasil keuntungan terperoleh daripada peningkatan pelaburan luar negara yang dirancang di bawah rangka kerja Peruntukan Aset Strategik PNB ternyata seperti perancangan,” tambah beliau.
Setakat 16 Disember, Komposit Indeks Kuala Lumpur (KLCI) menurun sebanyak 7.2 peratus setakat ini, menjadikannya antara indeks dengan prestasi terendah di dunia.
Ini merupakan tahun kelima daripada enam tahun berturut-turut pasaran tempatan mencatatkan pulangan negatif, jelas beliau.
Prestasi dana dibandingkan dengan Deposit Tetap 12-Bulan Maybank bagi TK2019, menunjukkan prestasi mengatasi penanda arasnya sebanyak 2.4 peratus.
Berbanding dengan harga pasaran komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI setakat 16 Disember 2019, ASB telah mengatasi Indeks dengan 12.7 peratus.
Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus ASB adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan yang dimiliki sepanjang tahun kewangan dana.
Unit yang dilaburkan semula dari pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2020.
APA SELEPAS INI?
Menurut sumber dalaman PNB, syarikat pelaburan ini akan menjadi lebih agresif dalam mencari pelaburan luar negara.
Sasaran pelaburan luar negara PNB dijangka meningkat dari 8 peratus (kini) ke 30 peratus dalam tempoh tiga tahun, hingga 2022.
Dengan adanya peningkatan dalam pelaburan luar negara, ini dapat mempelbagaikan portfolio pelaburan PNB dan secara amnya, akan memberikan pulangan yang bercampur-campur untuk PNB dengan lebih baik.
ASN TERIMA PULANGAN 2.75 SEN
ASNB juga mengumumkan pengagihan pendapatan 2.75 sen seunit bagi dana harga berubah pertamanya, Amanah Saham Nasional (ASN), bagi TK2019.
Menurut PNB, Ini mencerminkan hasil dividen 4.4 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih dana setakat 16 Disember 2019.
Pembayaran pengagihan berjumlah RM49.0 juta akan memanfaatkan lebih 1.22 juta pemegang unit dengan lebih 1.78 bilion unit.
Dalam keadaan pasaran tempatan dan antarabangsa yang mencabar, PNB mencatatkan prestasi berpatutan pada 2019.
#Amanah #Amanah Saham Bumiputera #Amerika Syarikat #ASB #Dr Zeti Akhtar Aziz #pelaburan #Permodalan Nasional Berhad #PNB
;