Kelemahan ringgit berterusan tingkat inflasi negara
Najib Aroff
Julai 8, 2015 08:05 MYT
Julai 8, 2015 08:05 MYT
Kelemahan ringgit berterusan akan membawa kepada kenaikan inflasi lebih tinggi akibat kos import bahan mentah pengeluar yang mahal.
Naik Presiden Persatuan Pengilang Malaysia Tan Sri Lim Wee Chai berkata pengeluar terpaksa menanggung peningkatkan kos import bahan mentah akibat kejatuhan nilai ringgit dan ia akan disalurkan kepada harga akhir produk.
"Jika kos beli bahan mentah adalah 50 peratus dari kos operasi maka ia akan menyumbang kenaikan 13 peratus kepada keseluruhan kos pengeluaran syarikat," katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Beliau yang juga pengerusi syarikat sarung tangan getah Top Gloves berkata syarikat turut berdepan kenaikan kos import bahan mentah getah.
"Kami cuba imbangi dengan eksport produk kami yang dilakukan dalam dolar.
"Namun ia tidak bertahan lama kerana pembeli meminta potongan harga susulan kelemahan ringgit yang memihak kepada kami," katanya.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Paul Selvaraj pula bersetuju harga akhir barang dijangka meningkat.
"Kita harap kerajaan lakukan sesuatu yang khusus hasil daripada aspek GST bagi membantu bebanan rakyat," katanya.
Berdasarkan kajian FOMCA kebanyakan pekerja golongan muda berdepan tekanan perbelanjaan tinggi melibatkan segmen pengangkutan dan penjagaan kesihatan.