Kelemahan ringgit adalah untuk jangka pendek - Irwan Serigar

Bernama
November 24, 2016 19:30 MYT
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata ringgit mengukuh dalam jangka panjang dengan kemasukan pelaburan langsung asing serta beberapa projek kerajaan yang akan dilaksana tahun depan. - Gambar fail
Kelemahan ringgit ketika ini adalah untuk jangka pendek, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Beliau berkata, unit tempatan akan mengukuh dalam jangka panjang dengan kemasukan pelaburan langsung asing serta beberapa projek kerajaan yang akan dilaksana tahun depan.
"Ekonomi Malaysia adalah kukuh dan harga minyak stabil kerana tidak jatuh di bawah US$40 (setong). Ekonomi global lembap sedikit tahun ini, tetapi diharapkan ia akan bertambah baik.
"Oleh itu, saya tidak nampak kenapa perlu bimbang mengenai kelemahan ringgit. Kita sedang berkembang, tetapi disebabkan sesetengah pihak memperkata perkara negatif, ia menjejaskan persepsi mengenai negara ini," katanya kepada pemberita pada majlis penutup Cabaran Kod Nasional (II) 2016 di sini, hari ini.
Sentimen lemah terhadap mata wang sedang muncul, berikutan spekulasi kenaikan kadar faedah AS pada Disember telah menyebabkan ringgit menyusut berbanding dolar US.
Hari ini ringgit dibuka pada 4.4500/4600 berbanding dolar US daripada 4.4400/4450 pada Rabu. Ia ditutup tinggi sedikit pada 4.4450/4550.
#ekonomi #Irwan Serigar #ringgit
;