'Kekurangan maklumat mekanisme rasionalisasi subsidi antara punca sentimen pengguna lemah'

Dagang News
April 26, 2024 12:00 MYT
Kenanga Research yakin pengguna akan meneruskan berbelanja berdasarkan kemampuan mereka sebaik mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar didedahkan.
KUALA LUMPUR: Rasionalisasi subsidi sering dibicarakan oleh pemimpin kerajaan, namun hingga kini, tiada perincian mengenai mekanisme pelaksanaannya meskipun pelaksanannya dijangka pada separuh kedua 2024 (2H2024).
Sedangkan menurut Kenanga Research, kekurangan maklumat mengenai rasionalisasi subsidi dilihat antara penyebab mengapa sentimen perbelanjaan pengguna berkemungkinan kekal lemah selain inflasi yang tinggi.
Kata firma penyelidikan itu, pihaknya percaya pengguna akan meneruskan berbelanja berdasarkan kemampuan mereka sebaik mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar didedahkan.
"Sebaik sahaja langkah rasionalisasi subsidi didedahkan pada tahun ini, kami percaya pengguna akan "menerima" secara beransur-ansur dengan mereka akan meneruskan perbelanjaan mengikut kemampuan," katanya dalam nota penyelidikan semalam.
MIDF Research dalam nota penyelidikan berkaitan inflasi pula mengunjurkan harga sebenar RON95 berdasarkan Brent Mac 2024 ialah RM3.17 seliter.
Bagaimanapun, MIDF Research menjangkakan harga petrol dan diesel tidak terus diapung sepenuhnya mengikut harga pasaran sebaliknya dilakukan secara terurus.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, Aeon meramalkan peralihan ke arah perbelanjaan pengguna yang lebih berhati-hati pada suku akan datang susulan peningkatan inflasi yang mengurangkan kuasa perbelanjaan pengguna.
Katanya, ini berbeza dengan suku pertama 2024 yang menyaksikan pengguna berbelanja didorong musim perayaan iaitu Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.
Justeru, di tengah-tengah landskap runcit yang mencabar, Aeon sedang berusaha untuk mempertahankan jumlah pelanggan melalui pengubahsuaian dan pengembangan premisnya.
Selain itu, kata Kenanga Research, Aeon juga berusaha mengekalkan marginnya dengan terus mengoptimumkan penawaran produk mengikut tahap pendapatan penduduk dalam persekitaran kedai.
"Kami mengekalkan ramalan kami, harga sasaran (TP) RM1.01 dan penarafan UNDERPERFORM," jelasnya. - Dagang News
#rasionalisasi subsidi #Inflasi #ekonomi malaysia #mekanisme subsidi
;