Kekukuhan ringgit dijangka bawa impak positif kepada pasaran ekuiti - Penganalisis
Bernama
Januari 10, 2021 14:21 MYT
Januari 10, 2021 14:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kekukuhan ringgit ketika ini dijangka membawa impak positif kepada pasaran ekuiti di tengah-tengah kelemahan dolar AS, apabila petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 30.24 mata untuk ditutup bagi minggu pertama 2021 pada paras tertinggi harian 1,633.19.
Ringgit diniagakan setinggi 3.9957 berbanding dolar AS pada hari pertama dagangan tahun ini dan firma penyelidikan berkenaan percaya kelemahan dolar itu akan berterusan.
Seorang penganalisis berkata ia terbukti pada Jumaat minggu yang baru berakhir ini, selepas FBM KLCI bergerak rendah semasa sesi pagi, dan ramai pembeli mencari mana-mana saham rendah dalam pasaran membangun dan langkah itu membayangkan ekuiti serantau berada di landasan untuk meningkat lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata 2021 bakal menjadi tahun yang lebih baik dengan sokongan ringgit yang kukuh, yang bakal menarik lebih ramai pelabur asing.
"Faktor-faktor yang menggalakkan termasuk sokongan pada masa akan datang dalam bentuk mudah tunai daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pengurangan kadar faedah, pelaksanaan rangsangan Belanjawan 2021, keterlibatan tinggi pelabur runcit, lantunan semula kukuh pendapatan korporat dan kenaikan harga minyak mentah dunia yang berlegar sekitar US$55 setong.
"Jangkaan umum COVID-19 dapat dibendung pada 2021 juga meningkatkan sentimen susulan berita pelaksanaan vaksinasi tidak lama lagi.
"Kekuatan ringgit yang meyakinkan berbanding dolar AS juga akan menjadi penyumbang untuk menarik pelabur asing secara berperingkat ke Malaysia pada 2021," katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, berdasarkan kepada data yang diperoleh bagi tahun penuh 2020, pelabur antarabangsa menjual RM24.6 bilion bersih ekuiti tempatan di Bursa Malaysia.
Nazri berkata dengan ringgit yang mencatatkan prestasi lebih baik, ia akan membawa kesan domino kerana ia menyokong banyak sektor, antara lainnya adalah komoditi yang bakal merangsang pasaran ekuiti.
"Apabila ringgit kukuh, orang akan berpusu-pusu membeli minyak sawit mentah. Apabila komoditi dalam nilai dolar AS ini menjadi murah untuk dibeli oleh peniaga, begitu juga negara-negara seperti China dan India," katanya.
Nazri berkata pelabur runcit sudah tentunya masih mendominasi dengan sokongan rangsangan daripada Belanjawan 2021 memandangkan mereka kini membentuk 37 peratus dalam pasaran dan diharapkan akan mencapai 40 peratus pada tahun ini.
Beliau berkata sektor sasaran yang akan meningkat pada tahun ini berbeza daripada tahun lepas apabila sektor yang merosot akan menjadi pemacu -- menjadi tumpuan dana asing.
"Sektor yang akan meningkat merupakan penerima manfaat dana asing seperti Telekom Malaysia, British American Tobacco, Genting, Inari dan bank-bank, selain pembinaan dan hartanah yang akan menjadi peneraju seiring dengan tenaga atau minyak dan gas," katanya.
Beliau berkata belanjawan 2021 memberikan penekanan penting kepada projek berimpak pengganda tinggi yang disambung semula seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo dan dijangka mewujudkan impak positif seawal suku pertama 2021.
Nazri berkata menjelang akhir tahun, sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berada pada paras 1,800, yang manaka kali terakhir dicatatkan adalah pada 2018, meskipun pada anggaran yang agak agresif iaitu nisbah 16.5 setahun, dipacu oleh penerima manfaat dana asing serta sektor-sektor kitaran.
Beliau turut menekankan beberapa kemungkinan risiko yang boleh menjejaskan keadaan misalnya ketidaktentuan politik, isu melibatkan garis masa vaksin dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.
"Risiko itu termasuk kemungkinan diadakan pilihan raya umum dan garis masa vaksin. Tidak dapat dipastikan bilakah vaksin ini akan berada di Malaysia, diharapkan tiada kelemahan dalam (pengedaran) vaksin sekiranya mereka berdepan pengalaman buruk dalam logistik kerana ia juga risiko besar," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak berputus asa dalam mengharungi cabaran besar pada 2020, dan mengatasi kebanyakan negara di rantau ini seperti Indonesia, Singapura dan Thailand meskipun FBM KLCI berada pada paras terendah dalam tempoh lapan bulan pada Februari dan Mac.
"Pada satu ketika, FBM KLCI susut 30 peratus, namun kita mampu bangkit semula dengan bantuan saham pengeluar sarung tangan dan pelabur runcit yang berdaya tahan," kata Nazri.
-- BERNAMA