Kekerapan jualan mega dapat tingkat perbelanjaan pelancong - Poh Kong

Bernama
Januari 20, 2015 17:07 MYT
Poh Kong berkata penurunan ringgit juga dipercayai menjadi faktor penyumbang dalam memacu perbelanjaan pelancong di negara ini.
Menambah kekerapan Jualan Mega dan melanjutkan waktu operasi pusat membeli-belah boleh membantu meningkatkan perbelanjaan pelancong di Malaysia, kata Poh Kong Holdings Bhd.
Pengarah Eksekutifnya Siow Der Ming berkata penurunan ringgit juga menjadi faktor penyumbang dalam memacu perbelanjaan pelancong di negara ini.
"Ia juga akan merangsang semua sektor runcit, termasuk segmen emas dan barang kemas," kata Siow, yang juga Presiden Persekutuan Perniagaan Emas di Malaysia, kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Kejatuhan harga minyak global secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna orang ramai, katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata penurunan harga petrol dan diesel baru-baru ini akan meningkatkan keseluruhan pendapatan boleh guna pengguna sebanyak RM7.5 bilion.
Dengan mengandaikan pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah ini, ia akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak RM3 bilion.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, hari ini mengumumkan beberapa langkah proaktif untuk memastikan pertumbuhan, pembangunan dan sasaran defisit fiskal Malaysia dapat diteruskan berikutan perubahan dalam landskap ekonomi global.
Siow juga menyambut baik pengumuman Najib mengenai pemberian visa percuma kepada pelancong antaranya dari China, untuk menggiatkan industri pelancongan negara.
"Pelancong China merupakan antara yang berbelanja besar, mereka membeli emas dan set barang kemas permata yang lain, dan jika mereka datang dalam jumlah yang besar, peniaga emas dan barang kemas pasti akan melakukan perubahan yang perlu untuk menarik segmen itu," katanya.
#emas #jualan mega #pelancong #Poh Kong
;