Kejayaan NBOS jadi penentu kebahagiaan rakyat - PM

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 16, 2016 12:17 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif itu berperanan penting dalam meningkatkan ekonomi rakyat sekaligus menjadi penentu kebahagiaan rakyat.
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bukan hanya bertindak sebagai pemangkin kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), pelaburan dan pasaran kewangan.
Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif itu berperanan penting dalam meningkatkan ekonomi rakyat sekaligus menjadi penentu kebahagiaan rakyat.
"Strategi lautan biru boleh diformulasi dan dilaksanakan di mana-mana negara yang mahukan impak yang besar. Bukan sahaja dipanggil ekonomi berasaskan modal, iaitu pertumbuhan KDNK, pernigaan besar, projek berpelaburan tinggi, pasaran kewangan dan sebagainya tetapi juga ekonomi rakyat.
"Maksud saya, adalah apa yang penting kepada rakyat iaitu pekerjaan, perniagaan kecil, kos sara hidup, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan keluarga, masyarakat inklusif dan harmoni, selain isu-isu lain seperti jenayah, trafik, pencemaran dan keseimbangan kerja dan kehidupan.
"Dalam kata lain, perkara yang menentukan kebahagiaan rakyat," ujar Datuk Seri Najib ketika menyampaikan ucaptama perasmian Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Datuk Seri Najib turut mengakui menjadi cabaran utama kepada beliau bukan hanya untuk menentukan kejayaan negara malah membentuk masa hadapan negara.
#KDNK #Najib Razak #NBOS #Perdana Menteri #Strategi Lautan Biru
;