Kejatuhan ringgit beri kesan kepada import, eksport
Sinar Harian
September 8, 2022 09:30 MYT
September 8, 2022 09:30 MYT
SHAH ALAM: Nilai ringgit yang dilaporkan menyusut pada kadar terendah mampu memberi kesan langsung kepada sektor import dan eksport negara.
Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berkata, keadaan tersebut juga sekali gus memberi impak terhadap keyakinan pelabur yang mempengaruhi aliran keluar masuk wang.
“Makin banyak pelabur masuk, makin kukuh ringgit. Begitu juga perdagangan, kalau eksport menyokong ringgit, banyak import tak sokong, (akan) jadi mahal segala (barangan) import termasuk makanan. Namun pengeksport meningkat sebab dapat lebih nilai ringgit,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan ringgit dibuka lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kepada paras terendah yang pernah dicatatkan semasa krisis kewangan Asia 1998 apabila lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat itu ekoran prospek ekonomi global tidak menentu.
Pada jam 9.01 pagi Rabu, unit tempatan merosot kepada 4.5010/5035 berbanding dolar AS (USD) daripada 4.4970/4500 ketika ditutup pada Selasa.
Dalam pada itu Nungsari menjelaskan, kedudukan mata wang dolar AS yang semakin mengukuh berbanding mata wang di kebanyakan negara disebabkan negara itu secara agresif menaikkan kadar faedah sekali gus menarik dana bagi mengukuhkan dolar AS.
“(Berbanding) Eropah bermasalah sebab inflasi tinggi selain kesan peperangan di Ukraine. Euro (pula) hampir sama nilai 1-1 dengan USD, begitu juga pound Britain.
“Ringgit juga akan terkesan dengan kekuatan dolar AS (kerana) nilai ringgit turut bergantung kepada beberapa perkara lain seperti harga minyak yang sah jatuh, perbezaan kadar faedah berbanding dolar AS misalnya.
“Selagi tidak ada perubahan dalam faktor berkenaan, kita tidak akan tahu berapa lama kedudukan tersebut kekal,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Ali berpandangan, nilai dolar AS dan ringgit mungkin akan meningkat ke paras 4.50 sebelum membuat penurunan sekiranya mencecah ke paras tertinggi 4.80.
“Tetapi jika kita lihat carta ringgit/dolar AS, ada kemungkinan ringgit akan membuat pengukuhan.
“Bila (ringgit mengukuh) itu tidak pasti, bergantung pergerakan bulan Oktober nanti. Kalau pergerakan bulan 10 masih menyusut, maka pengukuhan tidak akan berlaku,” jelasnya.
Kesan negatif penurunan nilai mata wang ringgit
1) Barangan import lebih mahal
Barangan import yang dijual dalam malaysia lebih mahal kerana Malaysia akan mengeluarkan lebih nilai wang untuk membayar harga barangan tersebut disebabkan nilai tukaran ringgit yang jatuh.
2) Harga barangan akan naik
Harga barangan keperluan juga meningkat naik kesan daripada kejatuhan nilai mata wang, cukai barangan dan perkhidmatan, harga minyak yang tinggi dan sebagainya.
3) Kuasa beli rakyat di luar negara berkurang.
Kuasa beli rakyat di luar negara atau pelancong Malaysia berkurang dengan penurunan nilai mata wang Malaysia. Perbelanjaan yang lebih mesti dikeluarkan untuk bercuti atau hidup di luar negara kerana kuasa membeli barangan di luar negara adalah berkurang.
4) Mahasiswa di luar negara terkesan.
Kejatuhan nilai ringgit memberikan kesan yang ketara kepada mahasiswa yang menuntut di luar negara. Jumlah wang saku mereka akan mengecil dan terbeban untuk membayar yuran pengajian.
5) Inflasi
Inflasi mungkin berlaku apabila barangan Import yang lebih mahal akan meningkat harga barangan import menyebabkan inflasi tarikan permintaan.
6) Penurunan harga minyak
Harga minyak berkadar songsang dengan nilai dolar Amerika Syarikat. Jadi bila nilai dolar naik, harga minyak turun dan nilai mata wang malaysia juga mengalami penurunan. -Sinar Harian