Kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS bersifat sementara

Bernama
September 18, 2022 20:31 MYT
Annuar berkata pada masa ini Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara sedang melakukan penyelarasan berhubung perkara itu. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kerajaan menyifatkan kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) yang berlaku pada masa ini adalah bersifat sementara, malah perkara itu turut berlaku di peringkat global.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata pada masa ini Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara sedang melakukan penyelarasan berhubung perkara itu.
"Kita tahu nilai ringgit adalah nilai yang relatif kepada beberapa mata wang. Apabila sebut nilai ringgit, ada naik dan ada turun. Tapi lazim yang banyak diperkatakan, ini adalah nilai ringgit berbanding dengan Dolar AS.
"Untuk tempoh itu ada positif dan ada negatif. Yang positif ialah barangan yang dieksport akan mendapat nilai yang lebih tinggi, namun kita negara yang import, kita perlu membayar lebih kerana bayaran dibuat dalam nilai Dolar AS," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Kolej Matrikulasi Kok Lanas di sini hari ini.
Annuar berkata bagi membolehkan pengukuhan asas ekonomi negara, sektor pembuatan, sektor pelancongan domestik perlu menunjukkan permintaan yang tinggi, selain memperbanyakkan barang gantian kepada belian import.
"Kita disaran membeli barangan Malaysia dan saya percaya semua ini akan dilihat melalui dasar fiskal oleh Kementerian Kewangan.
Saya percaya ini semua akan dilihat melalui dasar-dasar fiskal sementara dasar monetari dilakukan oleh Bank Negara, yang mana dasar fiskal akan dibuat oleh kerajaan terutama dalam pembentangan belanjawan yang akan datang," katanya.
Beliau berkata kerajaan sebelum ini menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) setelah berlaku kelembapan ekonomi dan pada masa ini OPR itu perlu dinaikkan bagi membolehkan Malaysia dapat bersaing dengan negara lain berikutan pembukaan semula ekonomi.
Menurutnya penilaian OPR diputuskan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara dan tidak boleh dikawal oleh kerajaan, namun jika OPR tidak dinaikkan, nilai mata wang ringgit boleh terus jatuh.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #kejatuhan ringgit #dolar AS #ekonomi malaysia
;