Kejatuhan ekonomi dunia hanya kitaran, bukan krisis

Luqman Hariz
Ogos 25, 2015 17:13 MYT
Menurut Nazarry, situasi masa kini tidak patut menimbulkan sebarang panik sebaliknya disifatkan sebagai kitaran penyelarasan ekonomi. - Gambar Fail
Situasi ekonomi dunia yang berlaku kini disifatkan sebagai kitaran normal bagi suasana ekonomi global masa kini.
Menurut penganalisis Jupiter Securities, Nazarry Rosli situasi ini bukanlah permulaan satu krisis ekonomi seperti yang dispekulasi sesetengah pihak malah ianya kitaran pembetulan bagi ekonomi dunia.
Dengan China selaku ekonomi kedua terbesar dunia kini, Nazarry berpendapat kejatuhan ekonomi dunia yang berterusan kini adalah berdasarkan prestasi ekonomi China.
Justeru, ianya tidak patut menimbulkan sebarang panik sebaliknya disifatkan beliau sebagai kitaran penyelarasan ekonomi.
"Saya lihat balik dari segi perkembangan di negara China, sebelum ini mereka telah melalui perkembangan yang sangat rancak. Jadi ini juga sebenarnya hanyalah masalah kitaran ekonomi.
"Yang saya lihat sekarang ini sebenarnya tidak ada panik di dalam pasaran. Ianya satu kitaran dan juga penyelarasan dari segi ekonomi terutama apabila bila bercakap tentang negara China," katanya.
Menurut Nazarry, China juga wajar mengambil inisiatif dan reformasi ekonomi bagi memastikan ekonominya pulih segera.
"China sendiri perlu melakukan reformasi dan penyelarasan bagi memastikan jika berlakunya kejatuhan, ianya hanya bersifat sementara, sebelum ekonominya boleh kembali dalam keadaan menaik," katanya.
Nazarry turut menasihatkan masyarakat supaya tidak panik dan membuat apa-apa spekulasi berhubung situasi kejatuhan ekonomi dunia dengan kejatuhan ringgit kini.
Situasi kejatuhan matawang, katanya bukan sahaja melanda Malaysia malah banyak negara lain di dunia.
"Ini hanya kitaran pusingan ekonomi sedunia. Fenomena ini bukan tertakluk hanya kepada negara Malaysia sahaja. Kita cenderung mengaitkan situasi ini dengan kejatuhan ringgit dan kejatuhan pasaran saham kita. Sedangkan kejatuhan ringgit dan kejatuhan pasaran saham bukan saja di Malaysia, ini fenomena kitaran yang mempengaruhi satu dunia," katanya.
Menurut Nazarry, situasi ekonomi Amerika Syarikat dijangka meningkatkan kadar faedahnya dan situasi ini tidak perlu dikhuatiri.
"Sememangnya, semua tahu bahawa Amerika Syarikat akan menaikkan kadar faedah mereka. Ini adalah salah satu langkah yang normal untuk sesebuah negara membuat penyelarasan pada ekonomi mereka pada keseluruhannya.
"Kaedah menaikkan kadar faedah itu adalah salah satu pilihan polisi bagi negara-negara di mana sahaja bagi memastikan ekonomi mereka terus berkembang dengan baik," katanya.
#China #Jupiter Securities #Nazarry Rosli
;