Kejatuhan Bursa Malaysia tempoh baik untuk beli pegangan pada harga murah - Penyelidik
Najib Aroff
Ogos 25, 2015 13:53 MYT
Ogos 25, 2015 13:53 MYT
Pelabur jangka panjang dinasihat mula membeli saham di Bursa Malaysia secara perlahan-lahan sementara menanti pasaran tempatan mencecah paras stabil dalam beberapa minggu lagi.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan, berkata kejatuhan Bursa Malaysia dan serantau perlu dilihat sebagai peluang untuk mendapatkan saham pada harga jauh lebih rendah.
"Kejatuhan ini merupakan kitaran setiap 10 tahun. Saya anggap ia merupakan pembetulan pasaran yang pernah kita saksikan pada 1987.
"Pada 1987 pasaran pulih dalam 9 bulan, saya jangka ia akan pulih dalam separuh kedua 2016," katanya kepada Astro AWANI.
Dr Nazri berkata perang matawang antara China dan Jepun juga memberi sentimen negatif kepada pelabur ditambah penantian kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat seawal bulan September 2015.
"Ini pembetulan yang kita tunggu lama sejak 2008," katanya.
Dr Nazri berkata paras psikologi bursa tempatan kini adalah pada 1,500 mata yang menjadi penentu penting kedudukan semasa pasaran Malaysia.
Sekiranya ia jatuh di bawah paras itu, lebih banyak dana asing akan mengalir keluar dari bursa tempatan.
"Kita harap ia boleh stabil sekurang kurangnya tiga lantunan semula dan keadaan beransur reda selepas Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah.
"Tindakan proaktif bank pusat Malaysia dan serantau amat penting untuk menentukan polisi monetari," katanya lagi.
Dr Nazri berkata situasi yang perlu diperhatikan adalah jualan cemas kerana sekiranya ia berlaku terutama pegangan asing, ia akan memburukkan keadaan.
Ujar beliau pegangan asing di bursa tempatan kini hanya pada 22 peratus berbanding 42 peratus sebelum ini.