Kehilangan MH370 bukan faktor pengaruhi harga saham turun di Bursa Malaysia

Bernama
Mac 16, 2014 20:36 MYT
Faktor-faktor luaran, dan bukan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang telah mempengaruhi penurunan harga saham di Bursa Malaysia.
Faktor-faktor luar itu termasuk ketidakpastian pertumbuhan ekonomi China dan masalah politik yang berterusan di Ukraine.
Ketua Strategi Pelaburan dan Ketua Ekonomi AMP Capital Investors Dr Shane Oliver berkata kebanyakan pasaran saham global mencatatkan penurunan minggu lepas berikutan isu tersebut dan tidak mengejutkan untuk melihat pasaran saham Malaysia juga mengalaminya.
"Walaupun berita tertumpu kepada pesawat yang hilang itu, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) hanya susut 1.5 peratus, sedangkan pasaran Asia lain sebenarnya yang mencatatkan kemerosotan ketara," katanya.
Semasa ditutup pada Jumaat, saham Malaysia Airlines naik setengah sen kepada 24 sen.
Oliver berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada kejadian kehilangan pesawat itu telah menjejaskan pasaran saham Malaysia minggu lepas.
"Secara keseluruhannya, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik dalam menghadapi minggu yang tidak begitu baik bagi saham global.
"Kita mungkin menyaksikan dagangan tidak menentu minggu depan di KLCI. Tetapi ini sekali lagi mungkin disebabkan oleh tekanan kuasa-kuasa global, termasuk kelemahan dalam saham di Amerika Syarikat dan Eropah, disebabkan oleh kebimbangan mengenai Ukraine," katanya.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi Sabtu lepas.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
#Bursa Malaysia #ekonomi China #Indeks Komposit Kuala Lumpur #MH370
;