Kedah jangka terima lebih banyak pelaburan dari China - Mukhriz

Bernama
September 7, 2019 09:17 MYT
Mukhriz (tiga, kiri) menyalakan obor simbolik pada Majlis Perasmian Kampung Warisan Kebudayaan, Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Kali Ke-36 di Pertubuahn Kebajikan San Sheng Alor Setar malam tadi. --fotoBERNAMA
Kedah yang sedang mengecapi hubungan erat terutama dalam bidang ekonomi dengan China dijangka akan menerima lebih banyak pelaburan dari negara tersebut pada masa akan datang, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Katanya selepas mengunjungi negara tersebut dua kali baru-baru ini, beliau mendapati nama Malaysia dan Kedah mempunyai reputasi yang baik dan sering disebut-sebut oleh pemimpin China selain rakyatnya.
"Bukan setakat itu saja, sekarang di China nama Kedah juga sudah menjadi nama yang terkenal dan di sebut-sebut oleh pemimpin di China.
"Saya akui salah satu sebabnya ialah kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun anak Kedah dan dia pun telah mengeluarkan beberapa kenyataan dalam mempertahankan kedaulatan negara China walaupun menerima tekanan daripada kuasa-kuasa asing," katanya ketika berucap merasmikan Kampung Warisan Kebudayaan, Pesta Kebudayaan Cina Malaysia Ke-36, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata kemasukan pelabur China juga memberi keuntungan kepada Kedah apabila lebih banyak peluang pekerjaan dari pelbagai bidang wujud sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
"Saya melihat kemajuan negeri ini di masa akan datang berkait rapat hubungan ekonomi dan politik yang dipupuk bersama dengan China," katanya.
Pesta Kebudayaan Cina yang berlangsung bermula semalam hingga esok diadakan di tiga lokasi berasingan di sekitar bandaraya Alor Setar iaitu di Pertubuhan Kebajikan San Sheng, Dewan Perhimpunan Cina Kedah dan Stadium Sultan Abdul Halim.
Seramai 3,000 peserta kebudayaan termasuk dari China dan Taiwan hadir membuat pertunjukkan dan persembahan kebudayaan Cina yang dijangka menerima kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Terdapat lebih 80 gerai jualan termasuk gerai makanan halal, barangan kraf dan ruangan fotografi di disediakan pihak penganjur bagi memeriahkan lagi pesta itu yang kali terakhir Kedah menjadi tuan rumah pada 2008.
-- BERNAMA
#Alor Setar #China #ekonomi #hubungan erat #kedaulatan #keuntungan #kuasa asing #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #pelaburan #persembahan kebudayaan #Pesta Kebudayaan Cina #politik #Taiwan
;