Kecerdasan buatan kuasa penggerak untuk pertumbuhan ekonomi ASEAN - SAS
Bernama
Mei 23, 2023 06:00 MYT
Mei 23, 2023 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Dalam era kemajuan teknologi yang pesat, Kecerdasan Buatan (AI) muncul sebagai penggerak di sebalik pertumbuhan dan pembangunan ekonomi ASEAN, kata SAS, peneraju dalam analisis data yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Dengan keupayaan AI untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan memupuk inovasi, ia telah menjadi alat penting untuk perniagaan menjana nilai pada skala lebih tinggi di peringkat serantau dan global dan pada masa yang sama meminimumkan kos pengurusan.
Walaupun transformasi yang dibawa oleh AI boleh memberi kesan kepada peranan pekerjaan tertentu, ia juga membuka jalan kepada peluang pekerjaan baharu yang memerlukan peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula tenaga kerja ASEAN.
"Satu daripada kelebihan utama AI terletak pada keupayaannya untuk membuat keputusan berasaskan data, mengoptimumkan peruntukan sumber dan dasar ekonomi.
"Ini membawa kepada kemajuan luar biasa dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan sektor awam di seluruh ASEAN," kata Naib Presiden Serantau dan Ketua Transformasi Digital, EMEA dan Asia Pesat Membangun di Institut SAS, Amir Sohrabi menerusi satu kenyataan kepada Bernama .
Dengan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, bank dan syarikat insurans, AI yang sedang dimanfaatkan untuk meningkatkan perkhidmatan rakyat dan pelanggan, menyumbang kesan positif dalam kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan.
Amir berkata dengan menerima analisis AI dan awan, ia memperkasa perniagaan dan Kerajaan ASEAN untuk mencipta aliran nilai baharu yang diperoleh daripada keputusan berdasarkan data yang membawa kepada pengalaman pelanggan yang dipertingkat dan ketangkasan dengan kos pengurusan lebih rendah.
"Gabungan ini mempercepat produktiviti, inovasi, penciptaan pekerjaan dan membuat keputusan berasaskan data untuk pembangunan ekonomi di rantau ASEAN," katanya.
Persidangan perniagaan AI dan analisis, SAS Innovate 2023 oleh SAS baru-baru ini, menyerlahkan keperluan perniagaan global untuk menerima teknologi canggih seperti AI dan analisis awan berikutan ketidaktentuan ekonomi kerana ia dapat membantu membina daya tahan yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah.
Berlangsung dari 8-10 Mei di Orlando, Florida, AS, persidangan itu memperakui bahawa AI dan analisis awan muncul sebagai alat yang sangat diperlukan untuk memperkasa perniagaan dalam mengharungi landskap yang semakin kompleks dan tidak menentu.
Ketua Pegawai Eksekutif SAS, Jim Goodnight, pada persidangan itu mengumumkan pelaburan sebanyak US$1 bilion untuk menyediakan penyelesaian industri termaju dikuasakan AI kepada pelanggannya dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Goodnight berkata SAS, peneraju dalam analisis yang beribu pejabat di Carey, North Carolina, akan menggunakan pelaburan tersebut untuk membangunkan lagi penyelesaian analisis lanjutan yang disasarkan pada keperluan unik industri tertentu.
Persidangan itu yang disertai delegasi media dari Asia Pasifik dan Eropah termasuk dari India, Jepun, Korea Selatan, China, Jerman dan Malaysia yang diwakili oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyelami teknologi terkini SAS dan rakan kongsinya di pavilion Hab Inovasi SAS.
Di pavilion itu SAS Viya, platform AI asli awan, analisis dan pengurusan data yang menyokong kitaran hayat analisis diketengahkan bersama penyelesaian lain yang membantu perusahaan antara lain membuat keputusan, strategi data serta kecerdasan pelanggan.
-- BERNAMA