Kebimbangan kemelut hutang AS dorong Bursa Malaysia dibuka rendah
Bernama
Jun 1, 2023 10:45 MYT
Jun 1, 2023 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kebimbangan berkisar kemelut perjanjian siling hutang Amerika Syarikat (AS) terus melemahkan sentimen pelabur pagi ini.
Pada 9.20 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.78 mata kepada 1,381.34 daripada 1,387.12 pada penutup semalam.
Indeks utama memulakan urus niaga 3.82 mata lebih rendah pada paras 1,383.30.
Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung 218 berbalas 141, manakala 255 kaunter tidak berubah, 1,626 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 327.35 juta unit bernilai RM158.25 juta.
Dalam satu nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata kegentingan pasaran buruh AS dan data inflasi yang tinggi baru-baru ini juga mungkin terus mengurangkan minat dagangan dalam pasaran ekuiti global, termasuk Bursa Malaysia.
Mengenai komoditi, ia berkata minyak mentah Brent turun ke arah US$72, manakala harga minyak sawit mentah berlegar melebihi RM3,200, sambil menambah kegiatan jualan dijangka terus tertumpu terhadap sektor berkaitan.
Sebaliknya, ia berkata sektor defensif seperti telekomunikasi dan utiliti diunjur mendapat perhatian dalan keadaan pasaran yang berterusan tidak menentu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan CIMB masing-masing menokok satu sen kepada RM3.82 dan RM4.83 manakala Maybank susut empat sen kepada RM8.61, Tenaga Nasional menguncup lima sen menjadi RM9.46, Petronas Chemicals lemah 12 sen kepada RM6.44 dan CelcomDigi berkurangan dua sen kepada RM4.45.
Bagi saham-saham aktif, Classita meraih setengah sen kepada 12 sen, Synergy House susut 5.5 sen kepada 37.5 sen, Alam Maritim Resources rendah setengah sen kepada 2.5 sen manakala Tanco dan Radium Development, kedua-duanya tidak berubah pada harga 51 sen dan 38.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 46.26 mata kepada 10,196.83, Indeks FBMT 100 menguncup 45.81 mata pada 9,903.70 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 66.26 mata menjadi 10,540.25..
Indeks FBM 70 kerugian 80.78 mata kepada 13,576.09 manakala Indeks FBM ACE peroleh 9.18 mata kepada 4,956.42.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 21.21 mata kepada 15,185.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 0.81 mata menjadi 158.30, Indeks Perladangan lebih rendah 3.65 mata kepada 6,597.43 dan Indeks Tenaga turun 7.63 mata kepada 801.81.
-- BERNAMA