KDNK suku ketiga diunjur negatif 3.3 peratus - Afzanizam

Najib Aroff
November 11, 2021 11:06 MYT
Afzanizam bagaimanapun menegaskan pertumbuhan suku keempat dijangka lebih positif susulan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka merekodkan pertumbuhan negatif 3.3 peratus pada suku ketiga 2021 susulan penutupan ekonomi yang dilaksanakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Ketua Ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Unjuran itu, kata Afzanizam, berdasarkan data seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang menguncup pada 1.1 peratus dan Indeks Pengeluaran Sektor Perkhidmatan yang menguncup 7.5 peratus pada suku ketiga.
"Perkara ini amat berkait rapat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apabila Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan mengikut fasa.
"Kita dapati, negeri-negeri utama seperti Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan berada dalam fasa satu sehingga pertengahan September, baru ia beralih ke fasa dua.
"Jadi, sekatan PPN ini, menyebabkan aktiviti-aktiviti ekonomi begitu terhad. Ini telah menyebabkan penurunan agak ketara dari sudut aktiviti ekonomi," katanya dalam temu bual bersama Niaga AWANI hari ini.
Afzanizam bagaimanapun menegaskan pertumbuhan suku keempat dijangka lebih positif susulan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi.
"Sekiranya untuk mencapai unjuran yang ditetapkan oleh kerajaan sekitar 3.3 hingga 4 peratus (untuk tahun penuh 2021), saya kira pertumbuhan positif perlu direkodkan pada suku keempat nanti, mungkin sekitar 2 hingga 3 peratus.
"Kita boleh jangkakan angka lebih positif pada suku keempat berbanding unjuran pertumbuhan negatif pada suku ketiga," katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan angka rasmi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga pada Jumaat ini.
#KDNK #Mohd Afzanizam Abdul Rashid #pertumbuhan negatif #ekonomi
;