KDNK sebenar Malaysia diunjur 5.0 peratus pada 2018-2019
Bernama
September 19, 2018 15:57 MYT
September 19, 2018 15:57 MYT
RHB Research menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia akan berkembang pada 5.0 peratus bagi 2018 dan 2019, lebih rendah berbanding 5.9 peratus pada 2017 berikutan permintaan luaran yang lemah.
Dalam satu nota penyelidikan hari ini, pakar ekonomi RHB Research, Vincent Loo Yeong Hong berkata aktiviti ekonomi global yang lebih perlahan juga berkemungkinan besar turut memberi kesan terhadap permintaan eksport Malaysia.
"Prospek pertumbuhan dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun dan maju ternyata semakin tidak menentu berikutan faktor seperti peningkatan harga minyak, kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang semakin meningkat, pertikaian perdagangan yang terus ketara serta tekanan pasaran terhadap mata wang beberapa ekonomi yang memiliki asas lemah.
"Sejajar dengan persekitaran unjuran pertumbuhan yang lebih lemah dan perang dagangan AS-China yang terus ketara, kami mengunjurkan eksport sebenar Malaysia akan susut kepada 3.5 peratus bagi 2019 berbanding anggaran 4.0 peratus tahun ini.
"Pertumbuhan import pula dijangka meningkat kepada 3.5 peratus daripada 3.1 peratus bagi tempoh sama," katanya.
Mengulas akaun semasa, Loo mengunjurkan ia akan kembali pulih dan mencatat jumlah lebihan yang lebih besar sebanyak RM45 bilion atau 2.9 peratus daripada KDNK untuk 2019 berbanding unjuran RM39.3 bilion atau 2.7 peratus daripada KDNK tahun ini.
Ini susulan pembatalan/penangguhan projek-projek infrastruktur mega yang turut mengekang import jentera dan bahan keperluan bagi kerja-kerja pembinaan.
Dari segi prestasi mata wang, ringgit diunjur lemah bagi minggu-minggu mendatang sebelum mencecah paras RM4.10 berbanding dolar AS, menjelang akhir 2018.
"Ringgit susut sebanyak 0.9 peratus berbanding dolar AS ke tahap terendah dalam tempoh sembilan bulan iaitu RM4.1465 dalam minggu pertama September yang hanya menambah 1.1 peratus penyusutan nilainya pada Ogos.
"Walaupun mata wang pasaran sedang pesat membangun mengalami ketidaktentuan baru-baru ini susulan krisis lira Turki, kami mejangkakan impaknya terhadap mata wang lain pasaran itu adalah terhad selepas para pelabur memberi reaksi ke atas jangkaan membabitkan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed)," katanya.
Bagi prospek masa depan, firma penyelidikan itu menjangkakan inflasi teras akan meningkat kepada 2.0 peratus pada 2019 berbanding anggaran 1.2 peratus pada 2018 (2017: +3.7 peratus) berikutan pelarasan harga selepas peralihan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Selain itu, kesan rendah susulan tempoh tanpa cukai selama tiga bulan juga berkemungkinan mengurangkan inflasi pada 2018.
Merujuk Kadar Dasar Semalaman, RHB Research menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkannya pada kadar 3.25 peratus sepanjang tahun ini dan tempoh memasuki 2019 yang dapat memastikan kestabilan ringgit berbanding dolar AS, khususnya ketika Fed terus memperketat langkah monetarinya.
"Pertumbuhan global juga mulai perlahan manakala perang dagangan AS-China mungkin memberi impak buruk terhadap perdagangan global pada masa hadapan.
"Dalam keadaan sedemikian, pihak Fed mungkin 'dipaksa' untuk memperlahankan kadar kenaikannya bagi tahun depan," katanya. -- Bernama