KDNK sebenar Malaysia akan tumbuh 5.2 peratus pada 2018

Bernama
Disember 27, 2017 20:58 MYT
Firma penyelidikan itu juga berpendapat bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin akan menokok kadar dasar demalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada 2018. - Gambar fail
RHB Research Institute Sdn Bhd menjangkakan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar Malaysia berkembang kepada kadar yang lebih sederhana, tetapi masih positif iaitu sebanyak 5.2 peratus dalam 2018, daripada 5.6 peratus yang dianggarkan bagi 2017.
Firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan, berkata jangkaan ini dibuat berdasarkan eksport yang lebih perlahan, disebabkan asas yang lebih tinggi pada 2017, termasuk kelembapan dalam perbelanjaan awam, seiring dengan kempen pengukuhan fiskal kerajaan.
"Bagaimanapun, pertumbuhan itu dijangka terus disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, memandangkan eksport akan terus meningkat serta ini akhirnya, terkait dengan perbelanjaan pengguna dan pelaburan swasta," katanya.
Sementara itu, penggunaan swasta dijangka mantap pada 2018, disokong terutamanya oleh kenaikan dalam pendapatan serta peluang pekerjaan, manakala pelaburan swasta akan bertambah berikutan pelaksanaan projek-projek infrastruktur mega termasuk pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Firma penyelidikan itu melaporkan, eksport akan tumbuh pada kadar yang sihat iaitu sebanyak 5.6 peratus pada 2018, walaupun agak perlahan berbanding jangkaan 8.8 peratus dalam 2017.
"Ini berpunca daripada permintaan yang lebih sederhana untuk penghantaran produk elektrik serta elektronik (E&E), bukan E&E dan komoditi," katanya.
Dari sudut mata wang, RHB Research meramalkan ringgit akan berada pada sekitar RM3.95 berbanding dolar US menjelang penghujung 2018, daripada RM4.10 yang dianggarkan pada akhir 2017, didorong oleh lebihan dalam akaun semasa.
"Lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran tahun depan dijangka akan melebarkan KDNK sebanyak 2.7 peratus berbanding lebih 2.5 peratus KDNK yang dianggarkan bagi 2017, disebabkan oleh baki barangan yang lebih luas dan defisit yang lebih kecil dalam akaun pindahan.
Firma penyelidikan itu juga berpendapat bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin akan menokok kadar dasar demalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada 2018, disebabkan oleh kadar inflasi yang tinggi, manakala pertumbuhan ekonomi Malaysia terus mengekalkan pada kadar kukuh.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan kadar inflasi utama berkurangan kepada 2.7 peratus dalam 2018, tetapi kekal tinggi berbanding dengan 3.8 peratus kenaikan yang dianggarkan bagi 2017," katanya.
-- BERNAMA
#bank #Bank Negara #Bank Negara Malaysia #ekonomi #KDNK #kerajaan #Malaysia #pelaburan #ringgit