KDNK Q3/2022 diunjur pada 12.2 peratus, disokong aktiviti pengeluaran sihat

Bernama
November 9, 2022 13:02 MYT
AmBank Group mengunjurkan KDNK suku ketiga 2022 adalah pada 12.2 peratus, lebih baik berbanding pertumbuhan suku kedua iaitu pada 8.9 peratus. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: AmBank Group mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2022 adalah pada 12.2 peratus, lebih baik berbanding pertumbuhan suku kedua iaitu pada 8.9 peratus.
Dalam satu nota penyelidikan hari ini, kumpulan itu berkata ia mengekalkan unjuran KDNK tahun penuh pada 7.5 peratus dengan peningkatan 8.5 peratus, disokong oleh angka pengeluaran perindustrian (IP) terkini yang terus mengembang sebanyak dua digit selain eksport dan penggunaan swasta yang lebih kukuh.
"Bagi Oktober, kita mungkin melihat aktiviti pembuatan yang lebih sederhana, mengambil petunjuk daripada penguncupan ketara Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan baru-baru ini dan kesan asas yang lebih tinggi," kata Ketua Ekonomi/Ketua Penyelidikan kumpulan Dr Anthony Dass.
Beliau berkata bacaan keseluruhan turun kepada 48.7 pada Oktober daripada 49.1 bulan sebelumnya disebabkan oleh kemerosotan dalam keadaan pasaran global dan permintaan pelanggan yang lesu.
Melihat kepada subsegmen sektor pembuatan, beliau berkata pengeluaran peralatan pengangkutan dan pembuatan lain meningkat sebanyak 21.6 peratus tahun ke tahun berbanding 55.2 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2022, manakala kayu, perabot, produk kertas dan pencetakan mengembang 8.7 peratus tahun ke tahun (Ogos 2022: 16.6 peratus tahun ke tahun).
Beliau menambah melihat pada asas bulan ke bulan, pengeluaran komoditi ini meningkat sebanyak 2.4 peratus, pada kadar yang lebih perlahan berbanding pertumbuhan bulan sebelumnya sebanyak 6.0 peratus.
"Bagaimanapun, pembelian semikonduktor global telah menguncup sejak Julai tahun ini, mencerminkan berakhirnya kitaran teknologi.
"Namun, kami menjangkakan jualan semikonduktor global berkembang sebanyak 14.0 peratus pada 2022, dan 5.0 peratus pada 2023," katanya.
IP Malaysia pada September berkembang sebanyak 10.8 peratus tahun ke tahun, pada kadar yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya iaitu 13.5 peratus tahun ke tahun.
Ini menjadikan pertumbuhan IP setakat ini kepada 7.9 peratus berbanding 8.8 peratus pada 2021.
-- BERNAMA
#KDNK #ambank #Anthony Dass #angka pengeluaran perindustrian
;