KDNK negeri Johor meningkat 2.4 peratus, berada di landasan pemulihan - Ketua Perangkawan

Astro Awani
Julai 26, 2022 16:42 MYT
Mohd Uzir Mahidin ketika sesi taklimat laporan penemuan subnasional parlimen dan dewan undangan negeri (DUN), banci penduduk dan perumahan Malaysia 2020 dan prestasi ekonomi negeri Johor hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Ekonomi negeri Johor kini berada pada landasan pemulihan berikutan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi negeri terbabit mencatatkan nilai RM131.1 bilion pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai itu menunjukkan pertumbuhan pada kadar 2.4 peratus berbanding RM128 bilion yang dicatatkan pada 2020.
Katanya, peratus pertumbuhan pada 2021 itu disifatkan lebih baik berbanding pencapaian pada tahun 2020 yang hanya merekodkan pertumbuhan negatif 4.7 peratus.
Manakala, struktur ekonomi Johor terus didominasi oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan dan pembuatan dengan sumbangan 83.0 peratus.
"Dengan adanya data ini bermakna masing-masing meletakkan strategi itu menggunakan angka dan fakta yang boleh kita teliti bersama.
“Maknanya kita tahu dalam konteks negara kita ini dalah sebuah negara yang bergerak ke arah yang berpendidikan tinggi, yang bermaklumat dan kita hendak maklumat ini supaya digunakan sebaik mungkin secara menggerakkan bersama,” kata Mohd Uzir.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sesi Taklimat Laporan Penemuan Subnasional Parlimen dan DUN, Banci Penduduk Dan Perumahan Malaysia 2020 dan Prestasi Ekonomi Negeri Johor 2021 hari ini.
Jelasnya, prospek ekonomi Johor dijangkakan akan terus berkembang kesan daripada pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.
Ia dalam masa sama membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri tersebut
Sektor perkhidmatan di negeri itu turut memcatatkan pertumbuhan 2.6 peratus disamping sektor pembuatan turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.5 peratus.
Dalam pada itu, eksport Johor turut meningkat sebanyak 20.6 peratus dengan nilai eksport dianggarkan RM255.1 juta.
Menurut Mohd Uzir, eksport barangan utama bagi negeri itu adalah keluaran petroleum bertapis mewakili sebanyak 21.9 peratus,
Disusuli litar elektronik bersepadu sebanyak 13.6 pertaus dan barangan elektrik dan elektronik yang lain, 7.2 peratus.
#ekonomi johor #Ketua Perangkawan #Mohd Uzir Mahidin #banci
;