KDNK menyusut marginal pada suku pertama 2021, namun ekonomi negara semakin baik
Astro Awani
Mei 11, 2021 15:05 MYT
Mei 11, 2021 15:05 MYT
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut secara marginal 0.5 peratus pada suku pertama 2021, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Begitupun, menurutnya, angka berkenaan dilihat semakin baik dan meneruskan aliran pemulihan daripada negatif 3.4 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya.
Menurutnya, prestasi ekonomi yang semakin meningkat disokong oleh pengukuhan dalam sektor Pembuatan dan pemulihan sektor Pertanian.
Tambahnya, dari segi permintaan pula, trend peningkatan disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh eksport barangan dan perkhidmatan di samping penurunan kecil dalam perbelanjaan swasta dan pelaburan aset tetap.
“Dari aspek pembekalan, semua sektor ekonomi mencatat peningkatan pertumbuhan. Sektor pembuatan mencatat pertumbuhan yang baik terutamanya disebabkan oleh pengeluaran E&E yang tinggi.
“Sektor perkhidmatan mencatatkan penurunan yang lebih kecil sementara aktiviti yang berkaitan dengan pengguna terjejas disebabkan sekatan dalam dua bulan pertama tahun ini.
“Kesannya lebih kecil daripada yang diperhatikan pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) kerana kebanyakan aktiviti ekonomi masih boleh diteruskan,” katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Selasa.
Tambah beliau, pertumbuhan sektor pertanian pulih terutama disebabkan oleh pertambahan dalam ternakan, perhutanan dan pembalakan serta subsektor pertanian lain.
“Sektor perlombongan pula menguncup pada kadar yang jauh lebih rendah kerana pengeluaran minyak mentah dan gas asli meningkat di tengah pemulihan permintaan luaran,” ujarnya.
Katanya lagi, sektor Perlombongan dan pengkuarian tumbuh negatif 5.0 peratus dari penurunan 10.4 peratus pada suku tahun keempat 2020.
“Sektor Pembinaan pula merosot 10.4 peratus, pertumbuhan lebih baik dari negatif 13.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.
“Ini disumbangkan oleh penyusutan perlahan dalam bangunan kediaman, bangunan bukan kediaman dan kejuruteraan awam. Sebaliknya, aktiviti pembinaan khas berkembang 16.9 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, semua komponen perbelanjaan menunjukkan tanda pemulihan, dipacu eksport daniImport yang pulih kepada pertumbuhan dua-digit disokong oleh peningkatan dalam barangan.
Begitupun, eksport perkhidmatan terus merosot ekoran sempadan negara masih ditutup bagi aktiviti pelancongan.
“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijangka akan mengembalikan keyakinan perniagaan dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Selain itu, indikator ekonomi jangka pendek iaitu Indeks Pelopor (IP) bagi Februari 2021 menunjukkan Malaysia ke arah pemulihan ekonomi pada bulan-bulan mendatang,” jelasnya.
#KDNK
#menyusut
#peratus
#ekonomi
#minyak
#pelaburan
#Malaysia
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#PICK
#pelancongan