KDNK menyusut 2.7 peratus pada suku tahun ketiga 2020
Astro Awani
November 13, 2020 11:39 MYT
November 13, 2020 11:39 MYT
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menyusut lebih perlahan 2.7 peratus berbanding penyusutan ketara 17.1 peratus pada suku tahun kedua.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, secara amnya, KDNK negara menyusut 2.7 peratus pada Julai, 3.6 peratus pada Ogos dan negatif 1.6 peratus pada September.
Tahun ke tahun, bagi pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, KDNK melonjak 18.2 peratus.
Tambahnya, pada suku tahun ketiga 2020, pemulihan berterusan dapat dilihat melalui prestasi ekonomi negara dalam menghadapi cabaran bagi membendung penularan pandemik COVID-19 melalui pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 10 Jun 2020 setelah pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sekatan perjalanan merentas negeri.
Pada suku tahun ketiga, pertumbuhan ini didorong oleh pemulihan dalam prestasi sektor pembuatan, sementara sektor lain menunjukkan pertumbuhan negatif yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.
Keseluruhan prestasi ekonomi pada suku tahun ketiga didorong terutamanya oleh sektor pembuatan yang bertumbuh 3.3 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia turut mengulas lanjut bahawa sektor perkhidmatan mencatatkan negatif lebih kecil 4.0 peratus.
Bagi segmen permintaan, perbelanjaan penggunaan akhir swasta merosot perlahan 2.1 peratus (suku tahun kedua 2020 sebanyak -18.5 peratus) disumbangkan oleh perbelanjaan ke atas keperluan asas seperti makanan dan minuman bukan alkohol, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan komunikasi.
#KDNK
#ekonomi negara
#Jabatan Perangkaan Malaysia
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#Ketua Perangkawan Malaysia