KDNK Malaysia pada suku kedua 2022 antara terbaik di Asia Tenggara - Perdana Menteri
Ridauddin Daud
Oktober 8, 2022 18:00 MYT
Oktober 8, 2022 18:00 MYT
JEMPOL: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini merupakan pencapaian terbaik berbanding negara lain di Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian itu bukan sahaja menjadikan Malaysia signifikan di mata dunia malah membuatkan pelabur antarabangsa semakin yakin dengan ekonomi negara.
Jelas Perdana Menteri, ia dibuktikan dengan pelaburan langsung asing (FDI) negara yang mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding RM23.3 bilion sebelum pandemik.
“Pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia juga adalah tertinggi di ASEAN dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti China (0.4 peratus), Amerika Syarikat (1.6 peratus), Korea (2.9 peratus) Kesatuan Eropah (4.0 peratus), Singapura (4.4 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Filipina: 7.4 peratus.
“Ekonomi negara tahun ini dijangka mencapai sasaran antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama tahun 2022 sebanyak 6.9 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Negeri Sembilan tahun 2022 di sini pada Sabtu.
Tambah Perdana Menteri, kenaikan harga barang merupakan satu fenomena global yang turut dialami Malaysia namun kadar inflasi negara adalah pada kadar 4.7 peratus pada Ogos 2022, lebih rendah berbanding beberapa negara serantau.
“Ini adalah kerana kesan daripada langkah-langkah intervensi kerajaan dalam menstabilkan harga barangan menerusi pemberian subsidi terbesar dalam sejarah kewangan negara.
“Sebanyak RM77.7 bilion subsidi diberikan bagi memastikan Keluarga Malaysia tidak terlalu terbeban dengan cabaran kos sara hidup. Sekiranya subsidi ini tidak disediakan, kadar inflasi negara boleh mencecah sehingga 10.6 peratus.
“Dengan jumlah pemberian subsidi yang terus meningkat ini, ia sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan menarik balik subsidi beberapa barang keperluan asas,” ujarnya.
Tambah Ismail Sabri, momentum pemulihan ekonomi tidak hanya dilihat kepada pertubuhan KDNK tetapi pemulihan pasaran kerja, membuktikan ekonomi negara berada dalam landasan terbaik.