KDNK Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 - Gabenor BNM

Nabilah Khaleeda
November 15, 2024 12:05 MYT
Abdul Rasheed (tengah) mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, pada sidang media, di Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, sedikit menurun berbanding 5.9 peratus pada suku kedua.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh aktiviti pelaburan yang memberangsangkan dan peningkatan eksport berterusan.
"Aktiviti pelaburan terus disokong oleh perbelanjaan yang kukuh dalam struktur serta jentera dan peralatan (M&E).
“Perbelanjaan isi rumah juga menunjukkan pertumbuhan positif berikutan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan pelaksanaan dasar yang menyokong.
“Sektor eksport memainkan peranan penting dengan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global.
“Peningkatan eksport ini turut disertai oleh import yang berkembang pada kadar lebih pantas, didorong oleh keperluan barangan modal dan perantaraan untuk menyokong pelaburan serta perdagangan,” kata beliau dalam sidang media, pada Jumaat.
Di samping itu, jelas Abdul Rasheed, dari segi penawaran, hampir semua sektor ekonomi menyumbang kepada pertumbuhan, dengan sektor perkilangan yang berorientasikan eksport menunjukkan peningkatan ketara.
Namun, pertumbuhan keseluruhan diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan yang menekan sedikit angka pertumbuhan.
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 5.2 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024.
#KDNK Malaysia #ekonomi malaysia #Bank Negara Malaysia #aktiviti pelaburan
;