KDNK Malaysia bagi suku kedua 2024 berkembang pada 5.3 peratus - Unjuran awal AmBank
Bernama
Julai 18, 2024 04:40 MYT
Julai 18, 2024 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: AmBank Bhd mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 mencatatkan pertumbuhan pada 5.3 peratus tahun ke tahun, didorong permintaan domestik yang mampan dan eksport lebih baik.
Dalam nota penyelidikan pada Khamis, Ambank menjelaskan unjuran awal pihaknya itu berdasarkan sektor luar yang bertambah baik secara beransur-ansur, pertumbuhan jualan perdagangan beragihan lebih baik, pasaran tenaga kerja yang kukuh serta inflasi rendah dan berterusan pada suku tersebut.
"Kesan asas juga penting, memandangkan pertumbuhan Malaysia pada suku yang sama tahun lepas dipengaruhi oleh kitaran menurun semikonduktor, yang tidak lagi berlaku pada suku sebelumnya," tambahnya.
AmBank memaklumkan terdapat peningkatan pada unjuran pertumbuhan KDNK suku kedua 2024 itu, berdasarkan pada data akan datang.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) dijadual mengeluarkan unjuran awal KDNK Malaysia bagi suku kedua 2024 pada Jumaat.
Menurut AmBank terdapat kemungkinan peningkatan pertumbuhan KDNK 2024 sekiranya unjuran pihaknya menjadi kenyataan.
"Sekiranya suku kedua 2024 mencatatkan 5.3 peratus tahun ke tahun atau lebih tinggi, KDNK tahun fiskal 2024 dalaman kami sepatutnya sepadan," jelasnya.
Unjuran pertumbuhan KDNK tahun fiskal 2024 adalah pada 4.5 peratus tahun ke tahun, tambahnya.
Bank itu juga mengunjurkan penggunaan swasta kekal disokong dengan baik susulan prospek pasaran tenaga kerja yang lebih menggalakkan.
"Bagaimanapun, unjuran kami menghadapi risiko penurunan daripada harga tenaga runcit yang lebih tinggi berikutan rasionalisasi subsidi," tambahnya.
Bank itu menjelaskan namun begitu, pihaknya yakin inflasi Malaysia telah stabil, dengan inflasi bukan makanan serta makanan dan minuman sejajar dengan inflasi keseluruhan.
"Kami mendapati inflasi bukan makanan telah mula mengatasi inflasi makanan dan minuman, menyumbang kepada kemungkinan inflasi keseluruhan yang lebih tinggi dalam beberapa bulan akan datang disebabkan oleh (bukan makanan) mencapai 70.2 peratus daripada bakul Indeks Harga Pengguna (IHP)," menurutnya.
-- BERNAMA