KDNK Malaysia bagi 2024 diunjur cecah 5.1 peratus, kekal positif - HLIB
Bernama
Februari 13, 2025 12:47 MYT
Februari 13, 2025 12:47 MYT
Menurut HLIB, angka itu seiring dengan anggaran sasaran rasmi Kementerian Kewangan (MOF) iaitu dalam julat 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.- Gambar hiasan/Reuters
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal positif pada paras 5.1 peratus bagi tahun ke tahun pada 2024, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Angka itu, katanya, seiring dengan anggaran sasaran rasmi Kementerian Kewangan (MOF) iaitu dalam julat 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.
Data penuh suku keempat KDNK akan diumumkan pada 14 Feb, 2025.
Bagi tempoh suku keempat 2024 (S4 2024), bank pelaburan itu menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh 5.0 peratus tahun ke tahun, disokong oleh pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan serta pembinaan.
"Kami menjangkakan pertumbuhan sektor perkhidmatan akan meraih momentum, sejajar indeks jumlah dagangan perkhidmatan lebih kukuh yang ditunjukkan bagi suku keempat dengan pertumbuhan 6.0 peratus bagi tahun ke tahun.
"Sebaliknya, sektor pembuatan dijangka berkurangan dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bagi pembuatan menyederhana dengan tumbuh 4.5 peratus tahun ke tahun berbanding 5.8 peratus pada suku sebelumnya," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Mengulas aspek perbelanjaan, HLIB berkata perbelanjaan swasta kekal menyokong pertumbuhan secara menyeluruh, didorong oleh pasaran tenaga kerja yang kukuh serta kadar pengangguran Disember 2024 pada 3.1 peratus manakala pertumbuhan gaji/upah dalam sektor perkhidmatan mencatat 3.9 peratus dan sektor pembuatan 1.7 peratus tahun ke tahun.
Namun, pertumbuhan secara menyeluruh dijangka ditekan oleh aktiviti eksport yang lebih perlahan (+7.3 peratus tahun ke tahun) berikutan peningkatan kebimbangan mengenai dasar perdagangan global, katanya.
Bagi 2025, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka susut sedikit kepada 4.9 peratus bagi tahun ke tahun, disokong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah mampan yang disokong pasaran buruh stabil.
Ini turut dirangsang oleh langkah-langkah sokongan pendapatan seperti kenaikan gaji dan pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Bagaimanapun, risiko penurunan ke atas pertumbuhan kekal ada memandangkan persekitaran dasar global yang tidak menentu," katanya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) pula menjangkakan pertumbuhan KDNK S4 2024 berada pada 4.9 peratus bagi tahun ke tahun.
Menurutnya, suku akhir 2024 itu menyaksikan peningkatan dalam Indeks Perkhidmatan (S4 2024: +6.1 peratus berbanding 5.6 peratus pada S3 2024 tahun ke tahun) manakala momentum pertumbuhan berterusan dicatatkan dalam nilai kerja pembinaan (S4 2024: 23.1 peratus; S3 2024: 22.9 peratus) di tengah-tengah indeks pengeluaran perindustrian yang lebih perlahan selain penurunan dalam pengeluaran minyak sawit mentah.
-- BERNAMA