KDNK: Galak PKS ke luar negara, permudah tapisan bantuan - Dewan Perniagaan Digital

Fareez Azman
Februari 12, 2022 10:28 MYT
WONG: Dalam masa pandemik dua tahun ini, kita cuma melihat duit dalaman, tetapi kita harus galakkan PKS keluar, supaya pendapatan luar negara dapat masuk. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 3.1 peratus pada tahun 2021 membuktikan pemulihan ekonomi negara berada di landasan yang betul.
Menurut Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM) Chris Daniel Wong, peningkatan KDNK itu memberi ruang kepada sektor perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kembali bangkit selepas dua tahun terjejas.
"Kita kena galakkan PKS keluar berniaga, berdagang, di luar negara, selain program sedia ada seperti menerusi MATRADE (Malaysia External Trade Development Corporation) dan MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation).
"Dalam masa pandemik dua tahun ini, kita cuma melihat duit dalaman, iaitu pendapatan domestik. Tetapi kita harus galakkan PKS keluar, supaya pendapatan luar negara dapat masuk.
"Bermaksud, kita akan kembali ke prapandemik pada 2017, 2018 dan 2019 apabila banyak pelancong dan peniaga datang ke Malaysia, malah kita ke luar negara, untuk bawa pulangan asing balik ke negara," katanya kepada Astro AWANI semalam.
Permudahkan tapisan bantuan
Tambah Wong, usaha itu perlu disokong oleh agensi dan pihak perbankan dalam memberi pinjaman kepada pengusaha PKS.
Namun, ujarnya, isu yang membelenggu rata-rata pengusaha PKS ialah apabila tapisan yang dikenakan masih seperti prapandemik, sekali gus menyukarkan kelangsungan perniagaan.
"Memang kita nampak agensi kerajaan dan bank tempatan banyak menyalurkan bantuan. Tetapi pihak perniagaan menyebut (mengenai bank yang) masih mengamalkan tapisan sama seperti prapandemik.
"Dua tahun ini, banyak perniagaan tidak untung, jadi mereka tidak dapat buat pinjaman. Isu ini kita ketengahkan kepada pihak agensi dan bank supaya mereka ada modal pusingan," katanya lagi.
Kenaikan kos tingkatkan inflasi
Wong berkata, meskipun ekonomi negara dijangka berkembang tahun ini, isu kenaikan harga barangan, termasuk tarif elektrik, merencatkan usaha itu.
Pertumbuhan KDNK | Galakkan PKS berdagang ke luar negara
"Tarif elektrif naik mendadak 18 peratus. Ini akan mengakibatkan harga barangan juga akan terus naik.
"Ini dua faktor di mana kerajaan harus ambil berat, supaya dapat melancarkan ekonomi dan baik pulih semula perniagaan, supaya mereka boleh bangun semula," katanya lagi.
Selain itu, kekangan penawaran dan permintaan dalam pasaran juga, menurut Wong, antara perkara yang perlu diselesaikan ketika ini.
"Contohnya, kekurangan bekalan seperti makanan ayam, menyebabkan harga ayam naik mendadak. Dan apabila sampai ke restoran, harga makanan juga naik.
"Kedua, bekalan logistik, di mana kos logistik bertambah naik. Perkara ini mendorong kepada kenaikan inflasi.
"Jadi, untuk menstabilkan inflasi, pihak kerajaan dan Bank Negara Malaysia harus mengambil langkah yang sewajarnya.
"Ini termaksud mengurangkan kadar faedah supaya lebihan aliran tunai di pasaran dan memudahkan para peniaga mengimport barang makanan dan bekalan tanpa permit diluluskan (AP)," jelasnya.
Wong berkata, jika isu kekangan AP ini dapat diselesaikan, masalah inflasi dan kenaikan harga barangan dapat dikurangkan daripada membebani rakyat.
"Yang saya selalu sebut, kekangan AP mendorong kenaikan harga barangan, bukan hanya barangan mentah tetapi juga sektor pembuatan elektronik dan sebagainya.
"Jadi, kerajaan harus kaji semula sistem AP sebegini supaya dapat mengekang kenaikan inflasi," katanya.
Cerita Sebalik Berita: Ekonomi berkembang 3.1%, negara di landasan tepat?
#KDNK #Kenaikan harga barangan #Chris Daniel Wong #perniagaan
;