KDNK enam negara ASEAN dijangka pulih kepada 4.5 peratus tahun ini - Maybank Research

Bernama
Jun 10, 2024 04:15 MYT
Pertumbuhan KDNK enam negara ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dijangka pulih kepada 4.5 dan 4.7 peratus masing-masing pada 2024 dan 2025, daripada 4.0 peratus pada 2023.
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) enam negara ASEAN dijangka pulih kepada 4.5 dan 4.7 peratus masing-masing pada 2024 dan 2025, daripada 4.0 peratus pada 2023, demikian menurut unjuran Maybank Research Pte Ltd.
Enam negara ASEAN itu adalah Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Maybank Research menerusi laporan bertajuk "ASEAN Frontiers: The New Trailblazers" berkata pemulihan KDNK itu akan dipacu oleh pembuatan dan eksport terutamanya elektronik yang menyokong pertumbuhan sederhana pada separuh pertama tahun ini.
Firma penyelidikan itu juga berkata, ledakan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data serta peningkatan permintaan global terhadap elektronik juga menyokong prospek cerah perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI).
Meskipun kenaikan kadar faedah, aktiviti ekonomi yang kukuh membawa kepada peningkatan pertumbuhan pinjaman di ASEAN.
"Pengecualian visa di Malaysia, Thailand dan Singapura dan penambahan kapasiti penerbangan telah meningkatkan kedatangan pelancong China ke ASEAN," katanya.
Mengulas mengenai kadar inflasi ASEAN, Maybank Research berkata, inflasi jatuh mendadak daripada paras tertinggi pada 2023 apabila gangguan rantaian bekalan akibat daripada perang Rusia-Ukraine semakin pulih.
"Bank Pusat ASEAN bagaimanapun berdepan kekangan untuk mengurangkan kadar dasar, kerana ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang berdaya tahan dan kadar faedah tinggi yang berlarutan lebih lama telah meningkatkan tekanan ke atas mata wang pasaran sedang pesat membangun.
"Kami menjangkakan Rizab Persekutuan AS akan mengurangkan kadar Dana sebanyak 50 mata asas sahaja pada 2024, bermula dari September," katanya.
Maybank juga berkata, ASEAN muncul sebagai salah satu destinasi pilihan apabila syarikat multinasional (MNC) mempelbagaikan rantaian bekalan pembuatan mereka dan beralih dari China.
Kelulusan dan permohonan FDI ke beberapa negara ASEAN, termasuk Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia meningkat dengan mendadak.
Pelaburan swasta mengukuh pada suku pertama tahun ini di Malaysia, Vietnam, Thailand dan Indonesia, menunjukkan bahawa lonjakan FDI baru-baru ini membuahkan hasil.
Negara-negara ASEAN memperoleh pelaburan bukan sahaja dari AS dan sekutunya, tetapi juga dari China, apabila FDI negara itu meningkat dengan kukuh di Vietnam, Thailand dan Malaysia sejak pembukaan semula ekonominya.
"Meneraju usaha pelaburan ini adalah sektor utama seperti kenderaan elektrik, tenaga solar dan pembekal teknologi," katanya.
Malaysia nampaknya menarik pelaburan terbesar dalam pusat data kerana AI memacu ledakan pelaburan dalam sektor ini di seluruh ASEAN.
Menurut laporan itu, ini mungkin sebahagiannya disebabkan oleh Singapura mengehadkan pembinaan pusat data baharu berikutan kebimbangan terhadap alam sekitar yang melibatkan penggunaan tenaga berat dan air.
Malaysia setakat ini berjaya menarik pelaburan daripada Google, Nvidia, GDS dan Equinix manakala Thailand memperoleh pelaburan daripada Amazon, Microsoft dan Google.
"Indonesia pula menarik pelaburan daripada Amazon, Alibaba dan Edgnex, antara lain dan pasaran baharu Vietnam telah menerima komitmen daripada syarikat seperti Keppel, Alibaba dan Gaw Capital," katanya.
- BERNAMA
#KDNK #negara asean #Pulih #Maybank Research
;