'KDNK ekonomi digital capai sasaran sebelum 2020' - Najib
Wan Syamsul Amly
Oktober 15, 2015 14:31 MYT
Oktober 15, 2015 14:31 MYT
Peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor ekonomi digital dari 16.38 peratus pada tahun 2013 kepada 17 peratus tahun lepas membuktikan negara berada di landasan tepat menuju negara maju pada 2020.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perangkaan terakhir yang dikeluarkan Jabatan Statistik itu sekali gus pencapaian terbaik negara yang disasar lebih awal dari perancangan pada 2011.
"Teras ekonomi digital negara adalah MSC. Sejak penubuhannya pada 1996, ia sudah menyumbang lebih RM295 bilion kepada pendapatan ekonomi negara, RM283 bilion dalam bentuk pelaburan dan membuka lebih 147,000 peluang pekerjaan.
"MSC juga sentiasa komited untuk menarik pelaburan daripada syarikat besar seluruh dunia dalam industri yang berskala besar," katanya dalam ucap utama Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) kali ke-27 Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood
MDeC akan menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada 2016.
Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) adalah inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi nasional yang diwujudkan bagi menarik syarikat teknologi bertaraf dunia dan dalam masa yang mempersiapkan industri ICT tempatan.
Pada mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC tahun lepas, Najib meluluskan pelbagai inisiatif yang dirancang untuk tahun 2015.
Inisiatif berkenaan ialah Liberalisasi MSC Malaysia, eRezeki yang menjadikan negara sebagai hab global untuk perkhidmatan awam dan kandungan.
Selain itu Najib turut mengumumkan pewujudan kandungan Pusat Kreatif Malaysia yang menjadikan negara sebagai hab media interaktif dan permainan, melabur dalam data analisis besar dan Kongres Dunia mengenai teknologi maklumat.
Dalam pada itu kata Najib, negara akan terus berusaha menjadi peneraju ekonomi berteras kepentingan kepada rakyat.
"Sangat penting untuk mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan, mempunyai kemahiran dalam bidang digital dan disokong eko-sistem komunikasi teknologi maklumat (ICT).
"Kita perlu meningkatkan usaha dalam inovasi dan menggunakan sepenuhnya teknologi digital untuk memastikan masa depan yang lebih cemerlang untuk negara," katanya.
Najib turut menekankan kepada golongan muda untuk mempunyai kemahiran tinggi dalam era digital selain meningkatkan kesedaran dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sebelum ini, negara menjangka aliran masuk pelaburan yang banyak bagi teknologi maklumat dan komunikasi pada tahun ini berikutan pembiayaan berterusan dalam pengembangan infrastruktur, latihan sektor swasta serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D).