KDNK benar Malaysia dijangka berkembang antara 5 dan 5.5 peratus pada 2018

Bernama
Oktober 27, 2017 16:24 MYT
Pertumbuhan KDNK benar Malaysia dijangka berkembang antara lima dan 5.5 peratus pada 2018. - Foto Bernama
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia dijangka berkembang antara lima dan 5.5 peratus pada 2018 yang didorong oleh permintaan domestik.
Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, perbelanjaan sektor swasta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan pelaburan dan penggunaan swasta berkembang 8.9 peratus dan 6.8 peratus manakala perbelanjaan sektor awam dijangka lebih rendah berikutan pengurangan perbelanjaan modal syarikat awam.
"Selaras dengan usaha konsolidasi fiskal, defisit fiskal akan terus berkurangan kepada 2.8 peratus daripada KDNK pada 2018 daripada tiga peratus tahun ini," katanya.
Oleh itu, hutang Kerajaan Persekutuan akan kekal terurus di bawah had berhemat sebanyak 55 peratus daripada KDNK, menurut laporan itu.
Dari segi penawaran, katanya pertumbuhan dijangka menyeluruh dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif manakala kedudukan luaran Malaysia dijangka kekal memberangsangkan disokong oleh perdagangan dan pertumbuhan global.
Katanya berdasarkan keadaan ini, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita semasa dijangka meningkat 5.1 peratus kepada RM42,777 pada tahun depan daripada RM40,713 tahun ini.
Beliau berkata, dengan kadar pertumbuhan pelaburan yang lebih tinggi, jurang simpanan-pelaburan akan berkurangan 2.3 peratus daripada PNK.
"Ekonomi terus beroperasi di bawah keadaan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran di bawah empat peratus, manakala inflasi kekal rendah," katanya.
Katanya perkembangan ini akan terus mengukuhkan asas ekonomi dan daya tahan negara untuk terus memacu Malaysia ke arah sasaran sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020 dengan menggandakan saiz ekonomi kepada RM2 trilion menjelang 2025 seterusnya menyertai kedudukan 20 negara teratas dunia pada 2050.
Menurut laporan itu, ekonomi global dijangka berkembang 3.7 peratus pada tahun depan daripada 3.6 peratus tahun ini manakala ekonomi maju dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak dua peratus pada 2018 berbanding 2.2 peratus pada 2017 disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh.
Bagi negara yang berkembang pesat dan negara membangun, katanya KDNK dijangka meningkat 4.9 peratus pada tahun depan daripada 4.6 peratus tahun ini disokong oleh permintaan global yang lebih tinggi dan keyakinan pasaran yang semakin meningkat terutamanya di China, India dan ASEAN.
"Bagaimanapun, ekonomi global masih berdepan dengan risiko penurunan disebabkan ketidaktentuan dasar dalam ekonomi utama, peningkatan perlindungan, ketegangan geopolitik, kesan perubahan iklim dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan," katanya.
-- BERNAMA
#berkembang #Datuk Seri Najib Tun Razak #defisit fiskal #KDNK #Keluaran Dalam Negara Kasar #Kementerian Kewangan #Laporan Ekonomi 2017 2018 #Malaysia #Najib Razak #Perdana Menteri
;