KDNK ASEAN-5 berkembang pada 7.8 peratus, Malaysia pada 9 peratus pada 2021 - IMF
Bernama
April 14, 2020 05:58 MYT
April 14, 2020 05:58 MYT
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada 7.8 peratus dan Malaysia pada sembilan peratus pada 2021.
Selain Malaysia, ASEAN-5 meliputi Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang masing-masing akan berkembang kepada 8.2 peratus, 6.1 peratus, 7.6 peratus dan tujuh peratus.
Untuk tahun 2020, organisasi yang berpusat di Washington itu menjangkakan ekonomi Malaysia merosot 1.7 peratus, kerana KDNK ASEAN-5 susut 0.6 peratus.
Unjuran IMF 2021 untuk Malaysia lebih tinggi daripada jangkaan pertumbuhan oleh Fitch Ratings sebanyak 5.8 peratus.
Pertumbuhan global dijangka pulih kepada 5.8 peratus pada tahun 2021, mencerminkan normalisasi aktiviti ekonomi dari tahap yang sangat rendah, kata IMF dalam laporan yang dikeluarkan pada Selasa.
Ia mengunjurkan pertumbuhan global -3 peratus untuk 2020, yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh pandemik COVID-19.
"Kumpulan ekonomi maju dijangkakan berkembang pada 4.5 peratus, manakala pertumbuhan untuk negara berkembang dan kelompok ekonomi membangun dijangka berkembang pada 6.6 peratus," katanya.
Sebagai perbandingan, pada tahun 2010 pertumbuhan global setelah krisis kewangan global pulih kepada 5.4 peratus daripada -0.1 peratus pada tahun 2009.
Bagaimanapun, pemulihan pada tahun 2021 sangat bergantung sama ada pandemik itu hilang pada separuh kedua 2020, membolehkan usaha pencegahan secara beransur-ansur dikurangkan dan memulihkan keyakinan pengguna dan pelabur, kata IMF.
Tindakan-tindakan dasar ekonomi yang signifikan telah dilakukan di seluruh dunia, yang menumpukan perhatian terhadap memenuhi syarat-syarat penjagaan kesihatan awam, sementara mengehadkan kesannya kepada aktiviti ekonomi dan sistem kewangan.
Pemulihan itu dianggap sebagai tindakan dasar yang berkesan untuk mencegah kemuflisan firma, kehilangan pekerjaan yang berlanjutan, dan tekanan kewangan keapada seluruh sistem.
Meskipun demikian, tahap KDNK pada akhir tahun 2021 di pasaran negara berkembang dan negara membangun diunjurkan kekal berada pada tahap sebelum berlakunya pandemik COVID-19 itu,
Melihat dari segi skala kemerosotan ekonomi, wujudnya ketidaktentuan mengenai pemulihan kelak.
"Beberapa aspek yang menyokong pemulihan itu mungkin tidak berlaku, dan hasil pertumbuhan global yang lebih buruk mungkin terjadi - misalnya, kemerosotan lebih teruk 2020 dan pemulihan yang sedikit pada tahun 2021 - bergantung keadaan pandemik itu dan tahap ekonomi berkaitan yang terjejas.
-- BERNAMA
#ASEAN-5
#COVID-19
#ekonomi
#IMF
#KDNK
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#kemelesetan ekonomi
#kemerosotan ekonomi
#koronavirus
#krisis kewangan
#negara berkembang
#negara maju
#negara membangun
#pandemik
#pemulihan
#pertumbuhan
#Tabung Kewangan Antarabangsa