KDNK 2021 diunjur kukuh, ekonomi Malaysia kini lantun semula - PM
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 18, 2020 14:56 MYT
Ogos 18, 2020 14:56 MYT
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh kedua tahun ini mula menunjukkan pemulihan apabila ekonomi Malaysia kini berada dalam landasan lantunan semula.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengunjurkan KDNK bagi tahun 2021 akan kukuh dengan kadar pertumbuhan sekitar 5.5 hingga lapan peratus.
Bagaimanapun, kata beliau, masih banyak usaha yang perlu dilakukan secara bersama untuk membina semula ekonomi negara.
"Ini dapat dilihat daripada beberapa penunjuk utama ekonomi yang telah mencatatkan pemulihan yang pantas sebaik sahaja sektor ekonomi dibuka semula.
"Eksport negara berkembang 8.8 peratus pada bulan Jun 2020 berbanding -25.5 peratus pada bulan sebelumnya kepada RM82.9 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM20.9 bilion.
"Indeks Pengeluaran Perindustrian turut meningkat 26.2 peratus pada bulan Jun berbanding bulan Mei 2020. Indeks sektor pembuatan pula melonjak 36.8 peratus pada tempoh yang sama.
"Jualan perdagangan borong dan runcit juga terus menunjukkan perkembangan dua digit iaitu sebanyak 21.8 peratus pada bulan Jun 2020 berbanding bulan sebelumnya.
"Jualan kenderaan bermotor pula berkembang 78.9 peratus diikuti dengan perdagangan borong sebanyak 20.3 peratus dan perdagangan runcit meningkat kepada 13.0 peratus dalam tempoh yang sama," katanya ketika berucap pada pelancaran Sukuk Prihatin di Kementerian Kewangan, di sini pada Selasa.
Majlis pelancaran sukuk digital pertama di Malaysia yang disempurnakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu turut disaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyatakan keyakinan, menerusi tekad yang kuat dan semangat yang teguh, rakyat Malaysia mampu menangani masalah ekonomi berikutan penularan wabak COVID-19.
#ekonomi
#impak COVID-19
#KDNK
#Kementerian Kewangan
#koronavirus
#Muhyiddin Yassin
#rakyat Malaysia
#Sukuk Prihatin
#Tengku Zafrul
#Yang di-Pertuan Agong