KDNK -0.1 peratus, isi rumah terkesan - Yusof Saari

Astro Awani
April 1, 2020 11:30 MYT
MOHD YUSOF: Pertumbuhan negara-negara di seluruh dunia mencatat penurunan lebih rendah berbanding tahun lepas antara lain disebabkan COVID-19. - Gambar fail
Malaysia masih mampu mencapai pertumbuhan ekonomi antara 1 hingga 1.5 peratus bagi 2020 jika COVID-19 berjaya dikawal selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Yusof Saari, apa yang pasti, pertumbuhan tahun ini akan jauh lebih rendah berbanding 4.3 peratus yang direkodkan tahun lepas.
“Jika Malaysia tidak lanjutakan PKP dan kita Berjaya mengurangkan kadar jangkitan COVID-19, unjuran -0.1 peratus KDNK oleh Bank Dunia boleh kita positifkan kembali.
“Kita menerima keadaan bahawa tahun 2020 akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dari 2019.
“Pada 2019 kita rekodkan 4.3 peratus dan bagi 2020, jika semua keadaan bertambah baik (kawalan COVID-19), kita berpotensi mencatat pertumbuhan 1 peratus hingga 1.5 peratus,” katanya ketika di temu bual dalam Niaga AWANI di sini pada Rabu.
Yusof mengulas laporan Bank Dunia yang mengunjurkan ekonomi Malaysia berada pada -0.1 peratus pada 2020 dan kelemahan ekonomi global disebabkan penularan wabak COVID-19.
Bank Dunia turut meramalkan eksport dan pelaburan di Malaysia akan menyusut lebih besar pada 2020 manakala penggunaan swasta dijangka tumbuh pada kadar lebih perlahan sekitar 1.6 peratus tahun ini berbanding 7.6 peratus tahun lepas.
Sementara itu Yusof berkata unjuran -0.1 peratus oleh Bank Dunia itu sudah mengambil kira pakej rangsangan yang dibentangkan oleh kerajaan.
Yusof pada masa sama menegaskan -0.1 peratus bermaksud pertumbuhan 2020 adalah lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.
“Jika kita mempunyai pendapatan RM100 pada 2019, namun Bank Dunia unjurkan KDNK -0.1 peratus, bermakna kita akan dapat hanya RM99.90 bagi 2020.
“Bermakna kita kehilangan RM0.10,” katanya.
#Asia #bank #Bank Dunia #Bersih #COVID-19 #ekonomi #KDNK #penjanaan ekonomi #perintah kawalan pergerakan #PKP #ringgit #unjuran penguncupan
;