KDN tamatkan kontrak NIISe kendalian Iris Corp berkuat kuasa serta-merta

Dagang News
Ogos 15, 2023 09:00 MYT
Iris berkata ia sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan akan mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi kepentingannya dan melaksanakan haknya berhubung kontrak itu. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Iris Corp Bhd mengumumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri telah membatalkan kontraknya untuk Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) berkuat kuasa serta-merta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Iris berkata, anak syarikat milik penuhnya, Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS), yang dikontrak sebagai pemaju untuk sistem imigresen baharu itu, semalam menerima notis daripada Kementerian bertarikh 10 Ogos 2023, mengenai penamatan kontrak tersebut.
Iris berkata ia sedang mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam caranya dan akan mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi kepentingannya dan melaksanakan hak undang-undangnya berhubung kontrak itu.
Penamatan Kontrak NIISe dijangka memberi kesan kepada prestasi kewangan Kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.
"Bagaimanapun, sejauh mana kesannya tidak dapat dipastikan dengan pasti pada masa ini," kata Iris.
Syarikat itu menambah bahawa penamatan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan operasi material ke atas kumpulan itu.
Ketika pasaran saham ditutup semalam, Iris didagangkan tidak berubah pada 8.5 sen sesaham dengan 2.53 juta saham didagangkan. - DagangNews.com
#KDN #Iris Corp #pemaju sistem imigresen #kontrak ditamatkan
;