Kastam KL sasar 40,000 individu, syarikat daftar GST
Bernama
Ogos 28, 2014 08:00 MYT
Ogos 28, 2014 08:00 MYT
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menyasarkan 40,000 individu dan syarikat perniagaan mendaftar untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga 30 September ini.
Pengarahnya Datuk Mohd Isa Endot berkata 4,313 individu dan syarikat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah mendaftar sejak ia dibuka 1 Jun lepas.
Pendaftaran itu bagi membolehkan syarikat perniagaan diberikan pendedahan dan latihan komprehensif berkaitan pelaksanaan GST yang berkuat kuasa 1 April 2015, katanya kepada pemberita selepas taklimat majlis Pendaftaran GST secara serentak di JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada hari Rabu.
Pada sesi pendaftaran hari ini, 300 syarikat perniagaan telah mendaftar. Pendaftaran awal itu dilaksanakan sejak 25 Ogos lepas.
"Walaupun mendaftar GST adalah tanggungjawab peniaga-peniaga namun kami mengambil langkah proaktif ini dengan mendekati peniaga melalui persatuan-persatuan mereka untuk mempercepatkan proses pendaftaran GST dan membantu mereka membuat pendaftaran secara dalam talian," katanya.
Mohd Isa berkata pendaftaran beramai-ramai secara serentak itu akan diteruskan sepanjang minggu ini dengan kerjasama pelbagai persatuan perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.
Berdasarkan pemerhatian, kebanyakan syarikat perniagaan masih gagal untuk membuat pendaftaran kerana tidak tahu cara yang betul untuk mendaftar, ada juga yang berganggapan jika telah mendaftar sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), mereka tidak perlu membuat pendaftaran GST," katanya.
Bagi Kuala Lumpur, JKDM mengeluarkan 67,000 surat pemberitahuan kepada syarikat perniagaan untuk membuat pendaftaran wajib, katanya.
JKDM menyasarkan 123,000 mendaftar bagi GST di seluruh negara dan sehingga hari ini 19,396 syarikat perniagaan telah didaftarkan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, ketika membentangkan Bajet 2014, mengumumkan pelaksanaan GST pada enam peratus untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus.