Kargo udara global catat pertumbuhan berganda pada Mac - IATA

Bernama
April 30, 2024 23:38 MYT
IATA menjelaskan syarikat penerbangan Asia-Pasifik menyaksikan pertumbuhan permintaan 14.3 peratus dari tahun ke tahun untuk kargo udara pada Mac lepas. - Gambar fail/IATA
KUALA LUMPUR: Industri kargo udara global mencatatkan 23.1 bilion tan kargo kilometer (CTK) pada Mac, mewakili pertumbuhan 10.3 peratus dari tahun ke tahun, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Peningkatan ini menandakan bulan keempat berturut-turut pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak dua angka.
CTK antarabangsa berkembang sebanyak 11.4 peratus dari tahun ke tahun di peringkat global, disokong oleh semua wilayah dan laluan perdagangan utama, dengan syarikat penerbangan dari Timur Tengah, Afrika dan Asia menerajui peningkatan tersebut.
'Kargo tan kilometer (ACTK) tersedia di seluruh industri, yang mencerminkan kapasiti global industri, telah naik sebanyak 7.3 peratus dari tahun ke tahun, didorong oleh pengembangan berterusan kapasiti dalam kemampuan muatan penumpang antarabangsa.
"Lonjakan dari tahun ke tahun dalam trafik jauh melebihi pertumbuhan yang dilihat dalam metrik perdagangan serta pengeluaran, manakala hasil kargo udara seluruh industri melonjak sebanyak 5.0 peratus berbanding Februari, sejajar dengan peningkatan faktor beban," kata IATA dalam satu kenyataan.
Mengenai prestasi serantau, IATA menjelaskan syarikat penerbangan Asia-Pasifik menyaksikan pertumbuhan permintaan 14.3 peratus dari tahun ke tahun untuk kargo udara pada Mac lepas.
"Permintaan ke atas laluan Asia-Eropah menokok 2.7 mata peratusan (ppt) kepada 17.0 peratus dan dalam Pasaran Asia berkembang 6.7 ppt kepada 11.8 peratus. Kapasiti naik 14.3 peratus dari tahun ke tahun," tambahnya lagi.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh memberitahu pertumbuhan itu menyumbang kepada prestasi suku pertama yang lebih baik yang telah melangkaui kemantapan prestasi suku pertama 2021 semasa krisis COVID.
"Dengan perdagangan rentas sempadan global dan pengeluaran perindustrian terus menunjukkan aliran meningkat yang sederhana, 2024 akan menjadi tahun yang kukuh untuk kargo udara," katanya.
-- BERNAMA
#IATA #COVID19 #syarikat penerbangan #kapasiti global
;