Kami tidak akan guna karya pelanggan untuk latih AI - Adobe

Amanz
Jun 7, 2024 04:10 MYT
Dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Adobe berharap sebarang kekeliruan mengenai penggunaan fail dan hak karya pelanggan telah dijelaskan. - Foto Amanz
ADOBE pagi ini mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka tidak akan menggunakan karya pelanggan untuk melatih kecerdasan buatan Firefly mereka.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas perubahan pada terma dan syarat perkhidmatan (TOS) untuk Adobe Creative Cloud tular di media sosial menimbulkan kemarahan pengguna perisian kreatif mereka seperti Photoshop, Premiere Pro dan Illustrator.
Antara perubahan pada TOS yang menimbulkan kerisauan pelanggan ialah klausa Adobe boleh mengakses karya pengguna bagi memperbaiki mutu dan kualiti perkhidmatan.
Ini dilihat sebagai Adobe mengakses fail pelanggan di Adobe Cloud untuk melatih model terkini AI generatif.
Adobe menjelaskan mereka komited untuk tidak menggunakan data pengguna untuk melatih AI.
Sebaliknya mereka hanya melatih model menggunakan karya yang telah dilesenkan atau yang kini memasuki domain awam.
Akses kepada karya pelanggan hanya dilakukan apabila diperlukan seperti mengakses ciri Photoshop Neural Filters, Liquid Mode dan Remove Background yang memerlukan fail pelanggan dihantar ke pelayar di awanan untuk diproses.
Mereka juga tidak akan mengambil hak ke atas karya-karya pelanggan seperti yang didakwa di media sosial.
Dengan kenyataan rasmi ini, Adobe berharap sebarang kekeliruan mengenai penggunaan fail dan hak karya pelanggan telah dijelaskan.
Sumber: Adobe
#Adobe #kecerdasan buatan #perubahan terma dan syarat #AI Generatif