Kajian: Rakyat Malaysia yakin pembungkusan ringkas akan tingkatkan rokok haram

Bernama
Jun 8, 2016 19:58 MYT
Jika semua pek rokok kelihatan sama, ia akan menyukarkan peruncit, pengguna dan agensi-agensi penguatkuasaan untuk membezakan antara pek yang berlesen atau haram.
Majoriti rakyat Malaysia amat bimbang dengan kesan negatif pembungkusan ringkas yang dicadangkan untuk rokok, dimana ia mungkin akan memburukkan lagi masalah rokok haram di negara ini.
Pembungkusan ringkas bermaksud bahawa semua pek rokok akan kelihatan sama dan ini akan menyukarkan peruncit, pengguna dan agensi-agensi penguatkuasaan untuk membezakan antara pek yang berlesen atau haram.
Kajian tersebut adalah berasaskan suatu tinjauan di seluruh negara yang dibuat baru-baru ini oleh Merdeka Centre for Opinion Research untuk Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia Singapura (MSCSPGA).
Dalam satu kenyataan, presiden MSCSPGA, Ho Su Mong, berkata rokok haram menyebabkan peruncit kehilangan pendapatan sebanyak RM500 juta setiap tahun.
Beliau menjelaskan, pembungkusan ringkas akan menjadikan masalah rokok haram bertambah tenat, terutama pasaran sudah mula dibanjiri oleh banyak rokok jenis itu selepas cukai rokok ditingkatkan.
Isu rokok haram sudah pun mencengkam pasaran Malaysia sejak beberapa tahun lepas dan walaupun ada usaha yang berterusan daripada agensi penguatkuasaan kerajaan, situasi sekarang adalah lebih teruk di mana separuh daripada pasaran domestik dikuasai oleh rokok haram.
"Keadaan sudah semakin sukar bagi anggota kami dan dengan peningkatan yang ketara dalam rokok haram, ia menjadi bertambah buruk dan kami amat bimbang dengan masa depan peruncit," katanya.
Pada Mei lepas, MSCSPGA menugaskan jawatankuasa kaji selidik awam untuk lebih memahami pandangan rakyat terhadap isu ini.
Berdasarkan kaji selidik itu, 81 peratus rakyat Malaysia percaya bahawa pembungkusan ringkas akan memudahkan penyeludup rokok menghasilkan pek palsu dan 88 peratus lagi mengatakan bahawa pembungkusan ringkas akan menyebabkan perokok beralih ke pasaran haram untuk rokok yang lebih murah.
Majoriti rakyat Malaysia (87 peratus) percaya bahawa Malaysia hari ini mempunyai masalah dengan rokok haram dan lebih separuh menentang pengenalan pembungkusan ringkas kerana ia mempunyai potensi untuk meningkatkan lagi tahap rokok haram di Malaysia.
"Ini adalah selaras dengan maklum balas dari ahli-ahli kami yang berasa bimbang mengenai kesan rokok haram yang semakin meningkat ke atas perniagaan mereka.
"Kami memahami dan menghormati matlamat kerajaan untuk mengurangkan rokok. Bagaimanapun, dengan hampir separuh daripada rokok di Malaysia dijual semurah RM3.50, kami merayu kepada kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pengawalan rokok haram dan bukannya memperkenalkan peraturan-peraturan yang akan menyebabkan masalah menjadi lebih teruk," katanya.
Ho dan anggota persatuan berharap kepada kerajaan untuk membuka peluang perbincangan kerana mereka percaya bahawa komunikasi dua hala adalah lebih berkesan untuk mencapai hasil yang lebih baik.
#bungkusan rokok #persatuan peruncit Malaysia #rokok haram
;