Kajian berkala imbuhan pengarah syarikat penting bagi tadbir urus lebih baik
Bernama
Oktober 31, 2023 08:00 MYT
Oktober 31, 2023 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kajian berkala bagi pengarah syarikat adalah penting bagi memastikannya kekal dalam amalan imbuhan serta mempunyai tadbir urus lebih baik, sejajar dengan piawaian industri dan pasaran, kata Ketua Pegawai Kawal Selia Bursa Malaysia Julian Hashim.
Sehubungan itu, katanya, syarikat-syarikat digalakkan untuk menyeragamkan aspek pendedahan mereka agar turut merangkumi semua komponen seperti yuran, elaun, manfaat dan emolumen untuk lembaga pengarah serta gaji, bonus, elaun lain atau ekuiti bagi pengurusan kanan.
"Adalah penting untuk meningkatkan ketelusan bagi mencapai penanda aras syarikat dan industri yang lebih tepat," katanya pada taklimat media mengenai Laporan Amalan Saraan Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Malaysia 2023 di sini, semalam.
Mengulas selanjutnya, Julian juga menyifatkan langkah tersebut akan membawa kepada aspek pampasan yang lebih saksama untuk pengarah.
"Wujud cabaran utama untuk mempunyai pampasan mencukupi sama ada bayaran dalam jumlah besar atau terlalu kecil untuk seseorang pengarah. Bagi saya, ini penting kerana anda mahu menarik individu serta bakat yang tepat," katanya.
Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) Michele Kythe Lim berkata imbuhan yang adil itu bukan hanya sekadar pampasan kewangan.
"Ianya adalah asas penting bagi mewujudkan lembaga pengarah, pasukan kepimpinan yang berkesan serta berkebolehan selain dapat menjadi motivasi untuk mencapai kejayaan di masa hadapan.
"(Bagaimanapun) kekurangan ketelusan dalam amalan imbuhan menerusi kajian kami adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan," katanya.
Menurutnya, kekurangan ketelusan boleh menjejaskan kepercayaan dan keyakinan, tidak hanya dalam organisasi tetapi juga kalangan pihak berkepentingan dan berkemungkinan tidak seiring dengan permintaan pihak berkepentingan yang mahukan amalan kewibawaan, keadilan serta beretika.
Beliau berkata, berdasarkan dapatan laporan itu, salah satu isu dihadapi oleh syarikat-syarikat adalah pemecahan maklumat berkaitan dengan amalan imbuhan.
"Bagi menangani perkara ini, kita mesti berusaha ke arah masa depan yang konsisten dan keseragaman dalam pelaporan," katanya.
Laporan diusahakan bersama oleh Bursa Malaysia Bhd dan Willis Towers Watson (WTW), membuat rumusan terhadap semakan data ke atas 176 daripada 300 syarikat senaraian awam terkemuka dan 193 maklum balas lengkap terhadap kaji selidik berkaitan dengan amalan imbuhan pengurusan kanan masing-masing.
Kajian itu bertujuan memahami tiga faktor utama seperti amalan industri semasa; tahap imbuhan mengikut saiz industri, saiz syarikat serta kualiti pendedahan.
-- BERNAMA