Kaji selidik Facebook: Perniagaan Malaysia beralih kepada landskap digital
Bernama
Julai 17, 2020 14:51 MYT
Julai 17, 2020 14:51 MYT
Perniagaan Malaysia kini mencari cara baharu untuk berkembang dalam landskap digital terutama dalam situasi penularan pandemik COVID-19 pada masa ini, demikian menurut kaji selidik oleh gergasi media sosial, Facebook.
Dalam laporan bertajuk State of Small Business, ia menyatakan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia telah berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, dengan menggerakkan operasi dalam talian masing-masing.
"Sebanyak 44 peratus PKS yang beroperasi di Facebook melaporkan 25 peratus atau lebih daripada jualan mereka dijana secara digital sejak bulan sebelumnya," katanya.
Ia berkata antara penemuan penting lain dari Malaysia ialah aliran tunai dikenal pasti sebagai kebimbangan utama dengan 63 peratus daripada PKS melaporkan jualan yang rendah berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala 58 peratus menjangkakan aliran tunai akan menjadi cabaran kepada mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Selain daripada itu, ia berkata 42 peratus daripada PKS di Malaysia telah mengurangkan jumlah pekerja berikutan pandemik itu.
Sementara itu, 47 peratus PKS yang ditinjau mengatakan mereka yakin dengan prospek masa depan, didorong oleh isu-isu utama yang tercetus daripada pandemik berkenaan, katanya.
Sebagai contoh, Facebook berkata antara perniagaan yang berjaya ialah Tajuddin Tempelicious, perniagaan tempe tempatan yang memanfaatkan teknologi dan media sosial untuk berhubung dengan pelanggan dan rangkaian bekalan.
Pengasas Tajuddin Tempelicious, Noorasliyati Sukiman berkata 80 peratus daripada tempahan yang diterima ialah melalui iklan produknya di Facebook Marketplace, Instagram dan WhatsApp.
Kaji selidik itu adalah dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang membuat kajian ke atas PKS di 50 negara dan rantau semasa pandemik menular dengan tujuan untuk mendengar pendapat PKS dan menilai bagaimana situasi mereka berubah.
-- BERNAMA