Kaji pengurusan tertinggi MAB, sebelum buat keputusan - NUFAM

Azyyati Ahmad
Mac 13, 2019 20:06 MYT
Tambah Ismail, NUFAM pernah berkongsi idea dengan kerajaan sebelum ini berhubung pilihan yang boleh diambil untuk menyelamatkan Malaysia Airlines namun cadangan mereka tidak dipedulikan.
Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menggesa Kerajaan untuk mengkaji semula dengan teliti dari segi punca dan kesannya sebelum cadangan menutup atau menjual Syarikat Penerbangan Malaysia (MAB) dilaksanakan.
Presidennya, Ismail Nasaruddin juga menyeru agar Kerajaan mengenal pasti masalah sebenar dan melihat semula keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh pengurusan tertinggi.
Tegas Ismail, penjualan dan penutupan aset negara itu bukanlah langkah penyelesaian terbaik, sebaliknya ia boleh menyebabkan hampir 14,000 kakitangan Malaysia Airlines ketika ini bakal kehilangan kerja.
“Sebelum kerajaan mahu tutup MAS, kaji dari semua segi dan kenal pasti dari mana masalah itu datang.
“Dahulu kata disebabkan pekerja, apabila ramai diberhentikan, MAS tetap mencatat kerugian. NUFAM pernah kata dulu jangan salahkan pekerja kerana ada syarikat penerbangan mempunyai berbelas ribu pekerja namun tetap mencatatkan keuntungan.
“Perkara perlu dilihat adalah pengurusan tertinggi. Adakah mereka betul-betul boleh pegang jawatan itu dan adakah mereka benar-benar menjalankan tugas dengan sebaiknya" katanya dalam satu siding media hari ini.
BACA: Kerajaan tutup atau jual MAS? Ini penjelasan Tun Mahathir
Tambah Ismail, NUFAM pernah berkongsi idea dengan kerajaan sebelum ini berhubung pilihan yang boleh diambil untuk menyelamatkan Malaysia Airlines namun cadangan mereka tidak dipedulikan.
Tegasnya, NUFAM sedia untuk terus berkongsi idea kerana Malaysia Airlines sebenarnya sebuah syarikat yang mampu menjana keuntungan jika diuruskan dengan lebih baik.
Pada Selasa, Perdana Menteri berkata kerajaan akan mengkaji pelbagai pilihan sebelum membuat keputusan mengenai masa depan syarikat penerbangan negara.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ia susulan kerugian yang dihadapi Malaysia Airlines sejak beberapa tahun lalu sekaligus menjadi penyumbang kepada susut nilai Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
#Ismail Nasaruddin #Khazanah #MAB #Malaysia Airlines #NUFAM #Sekretariat Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia #Syarikat penerbangan Malaysia
;