Kaji hala tuju dasar negara untuk tarik pelaburan - Rafidah

Bernama
Mei 24, 2022 18:20 MYT
Rafidah menekankan bahawa perlu ada kapasiti untuk mendahului perkembangan baharu dan mencari penyelesaian bagi isu tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengkaji hala tuju dasar negara terhadap perniagaan dan pelaburan untuk menarik dan memastikan pelaburan luar kekal di dalam negara, kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz.
Beliau berkata Malaysia kekurangan faktor tarikan untuk memastikan pelabur luar datang ke Malaysia dan pelabur domestik turut menerima faedah.
"Kita nampaknya sudah kurang faktor tarikan, elemen menarik untuk menarik pelaburan. Kita umum banyak orang nak melabur tetapi adakah semua ini direalisasikan? Ramai telah bertanya.
"Saya dahulu bila saya umum, kita sudah menandatangani memorandum aku janji dan pelabur telah mengenal pasti di mana kilang dan sudahpun mencari rakan kerjasama di sini.
"Bahkan, saya dahulu tidak dibenarkan umum (jika belum konkrit lagi) supaya apa yang diumumkan menjadi realiti," katanya kepada pemberita selepas siri meja bulat eksklusif bertajuk 'The Evolving Threat Matrix in the Digital Economy' hari ini.
Rafidah menekankan bahawa perlu ada kapasiti untuk mendahului perkembangan baharu dan mencari penyelesaian bagi isu tersebut.
"Perkara berkembang begitu cepat. Paling penting, saya meminta semua orang untuk mempunyai visi serantau dan global yang jelas dan tidak mempunyai pemikiran dan pendekatan yang tidak produktif," katanya.
Sementara itu, Rafidah turut mempersoalkan pemantauan simpanan stok negara berikutan kekurangan bahan makanan di negara ini.
"Siapa yang memantau ini? Sebelum ini, kami pernah menjalankan langkah pengauditan pada setiap bulan untuk mengetahui bahawa kami mempunyai simpanan stok fizikal. Tak cukup, kita beli. Kita tidak mahu sebarang gangguan, bukan? Dan saya baru mendengar hari ini bahawa Thailand kekurangan beras dan mengalami gangguan," katanya.
Terdahulu, Rafidah adalah ahli panel pada sesi firechat mengenai 'Maintaining Strategic Interests in Critical Value Chains'.
Siri meja bulat selama setengah hari itu dianjurkan oleh Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF).
-- BERNAMA
#Rafidah Aziz #dasar pelaburan #pelabur asing #pelabuk domestik #MITI #Malaysia
;