Kadar pengangguran di Singapura meningkat 2.1% pada Jun
Bernama
Julai 31, 2013 15:47 MYT
Julai 31, 2013 15:47 MYT
Anggaran awal menunjukkan kadar pengangguran keseluruhan yang diselaraskan secara bermusim di Singapura mencatatkan 2.1 peratus pada Jun 2013.
Angka itu meningkat berbanding 1.9 peratus pada Mac 2013 dan 1.8 peratus pada Disember 2012, demikian menurut Kajian dan Perangkaan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) laporannya mengenai "Situasi Pekerjaan, Suku Kedua 2013" yang dikeluarkan di sini Rabu.
MOM berkata pasaran buruh yang penuh menunjukkan tanda-tanda pengurangan dalam suku kedua 2013, seperti pemberhentian yang bertambah berikutan perniagaan melakukan penstrukturan dan penyepaduan semula syarikat.
Pengangguran meningkat buat suku kedua berturut-turut, walaupun ia masih rendah dan pewujudan pekerjaan kekal tinggi.
Jabatan itu berkata kadar pengangguran dalam kalangan pemastautin juga meningkat kepada 3.0 peratus pada Jun 2013 berbanding 2.9 peratus pada Mac 2013 dan 2.7 peratus pada Disember 2012, manakala kadar pengangguran rakyat tempatan meningkat kepada 3.1 peratus daripada 2.9 peratus pada dua suku tahun sebelumnya.
Jumlah penawaran pekerjaan pada suku kedua 2013 (32,500) meningkat berbanding suku tahun sebelumnya (28,900) dan meningkat sedikit daripada suku kedua 2012 (31,700).
Ini menjadikan jumlah pekerjaan kepada 3,419,000 pada Jun 2013, iaitu 4.0 peratus lebih tinggi daripada tahun lepas.
Pemberhentian meningkat pada suku kedua 2013, yang melibatkan kira-kira 2,900 pekerja, meningkat daripada 2,120 pada suku sebelumnya dan 2,210 pada suku kedua 2012.