Kadar OPR kekal 3 peratus, BNM mahu dasar monetari kekal kondusif

Firdaus Azil
Mac 7, 2024 15:12 MYT
MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Khamis telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), pada kadar 3.00 peratus.
Dalam satu kenyataan media, BNM berkata, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.
Ia berkata, MPC akan terus berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” menurut kenyataan itu lagi.
Ekonomi Malaysia
Dalam pada itu BNM berkata, ekonomi Malaysia dicatat berkembang sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2023, dan pertumbuhan dijangka meningkat pada tahun ini, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak bulan Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat.
“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan, serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan,” menurut kenyataan itu lagi.
BNM berkata, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.
Sementara itu, katanya lagi, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Kedudukan inflasi
Menyentuh mengenai inflasi pula, ia berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada bulan Januari 2024.
“Trend ini adalah selari dengan jangkaan. Inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.
“Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” katanya lagi.
BNM berkata, walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama, dan Kerajaan serta BNM sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.
Ia berkata langkah tersebut dijangka akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar, dan seterusnya memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh.
Pada tempoh jangka sederhana, BNM berkata, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.
#Bank Negara Malaysia #OPR #ekonomi malaysia #Kerajaan Perpaduan
;