Kadar kemiskinan negara menurun dua mata peratusan
Hasimi Muhamad
Julai 10, 2020 13:42 MYT
Julai 10, 2020 13:42 MYT
Kadar kemiskinan negara menurun sebanyak dua mata peratusan daripada 7.6 peratus pada tahun 2016 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkembangan positif itu jelas menunjukkan program dan inisiatif pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh kerajaan dengan sokongan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan dan swasta telah membuahkan hasil yang baik.
“Metodologi pengiraan PGK ini kali terakhir dikemaskini pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.
"Berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan adalah 5.6 peratus (405, 441 isi rumah) bagi tahun 2019. Kadar kemiskinan pada tahun 2016 adalah 0.4 peratus (24,700 isi rumah) yang diukur berdasarkan metodologi PGK 2005.
"Sekiranya metodologi PGK 2019 digunakan untuk mengukur kadar kemiskinan pada tahun 2016, peratusannya adalah 7.6 peratus (525, 743 isi rumah)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata selain menggunakan PGK, kerajaan turut menggunakan beberapa kaedah lain dalam mengukur kemiskinan rakyat.
Salah satu daripadanya adalah dengan menggunakan kaedah pengukuran kemiskinan berasaskan pelbagai dimensi yang menekankan aspek-aspek peningkatan kualiti hidup seperti aspek kesihatan, pendidikan, perumahan, taraf hidup, akses kepada maklumat, dan juga pendapatan bulanan isi rumah.
"Usaha menambahbaik kaedah pengukuran kemiskinan ini adalah manifestasi kesungguhan, keprihatinan dan ketelusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
"Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial termasuk semakan semula kumpulan sasar di bawah seliaan dan tanggungjawab mereka dalam masa lima bulan akan datang.
"Berpandukan statistik yang tepat, kerajaan akan dapat menggubal dasar dan strategi serta merangka program yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin.
“Ini termasuklah dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan," tambah beliau lagi.
Sehubungan itu, Mustapa berkata usaha pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup rakyat akan sentiasa menjadi antara agenda utama negara.
“Justeru, usaha dan inisiatif Kerajaan dalam mencapai matlamat ini akan sentiasa diperkukuh dan dilipatgandakan agar pembangunan negara akan dapat dirasai oleh setiap rakyatnya sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
#2016
#agenda
#ekonomi
#Kadar kemiskinan negara
#Mustapa Mohamed
#Pendapatan Garis Kemiskinan PGK
#Perdana Menteri