Kadar jangka pendek ditutup stabil berikutan operasi BNM
Bernama
Februari 7, 2025 16:53 MYT
Februari 7, 2025 16:53 MYT
Awal hari ini, bank pusat menawarkan tiga tender repo berbalik, tender repo berbalik Islam dan tender repo berbalik semalaman. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional meningkat kepada RM27.81 bilion daripada RM24.86 bilion pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam naik kepada RM16.49 bilion daripada RM15.96 bilion sebelumnya.
Awal hari ini, bank pusat menawarkan tiga tender repo berbalik, tender repo berbalik Islam dan tender repo berbalik semalaman.
BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar dengan tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.
Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM27.8 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM16.5 bilion, kedua-duanya dengan tempoh matang tiga hari.
Bank pusat turut menyemak semula tender semalaman Murabahah kepada RM16.5 bilion daripada RM16.1 bilion.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 6 Februari.
-- BERNAMA