Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil berikutan operasi BNM
Bernama
Februari 16, 2023 11:21 MYT
Februari 16, 2023 11:21 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dianggarkan sebanyak RM38.77 bilion dalam sistem konvensional dan RM32.78 bilion dalam dana Islam.
Hari ini, bank pusat akan menjalankan dua tender pasaran wang konvensional bernilai RM500 juta untuk tujuh hari dan 28 hari serta tender repo berbalik bernilai RM1.9 bilion untuk 28 hari.
Ia akan turut menjalankan tiga tender Qard terdiri daripada RM1.1 bilion untuk tujuh hari, RM800 juta untuk 14 hari dan RM700 juta untuk 21 hari.
BNM turut mengumumkan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu hingga tiga bulan.
Pada 4 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM38.7 bilion dan RM29.2 bilion untuk tender semalaman murabahah.
-- BERNAMA